Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Ganjaran RM30,000 menanti penjawat awam dedah penyelewengan k’jaan’

Penjawat awam yang berani mendedahkan penyelewengan yang berlaku dalam kementerian masing-masing bakal dianugerahkan ganjaran sehingga RM30,000, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Selain itu juga, kakitangan awam yang memperkenalkan kaedah kreatif dan inovatif yang dapat memberikan penjimatan kewangan dalam kementerian juga layak dipertimbangkan untuk ganjaran tersebut.

Lim berkata, status penilaian bagi kedua-dua anugerah yang dinamakan Anugerah Integriti dan Personaliti (IPA) dan Anugerah Kreativiti dan Inovasi (CIA) kini di peringkat akhir, yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Ahmad Badri Mohd Zahir.

“(Laporan) boleh salur kepada dia punya KSU (ketua setiausaha) atau kepada pihak KSP (ketua setiausaha perbendaharaan) sendiri kerana kita tentu akan buat tuntutan.

“Perintah kerajaan ialah kalau nak buat laporan kepada polis atau SPRM kena dapat persetujuan daripada pegawai atas. Tak boleh buat laporan dengan sendiri tapi dapat kelulusan daripada pegawai atasan.

“Jadi tentu mereka nak mula pentadbiran dalaman. Dan sekiranya perkara ini amat serius, tentu laporan akan dibuat. Tapi kalau ia diuruskan secara dalaman itu akan dibuat secara dalaman,” katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya.

Terdahulu, beliau menghadiri mesyuarat majlis perhimpunan bulanan MOF dan sebelum perasmian portal MLA 3.0 aplikasi mudah alih CEP dan Treasury Active Learning Centre (TALC).

Lim walau bagaimanapun, menjelaskan ganjaran yang dicadangkan itu akan hanya digunapakai kepada kementerian persekutuan dan bukan di peringkat kerajaan negeri.

Beliau berkata, pemenang bagi kedua-dua anugerah ini akan diumumkan dalam sebuah majlis pemberian anugerah yang dijangka akan diadakan dalam bulan november.

Sementara itu, beliau juga berkata mana-mana kementerian yang mempunyai wang lebihan simpanan menerusi program yang dijalankan sebelum ini akan dipulangkan semula kepada kementerian masing-masing, dan tidak akan dimasukkan ke dana disatukan (consolidated funds).

Katanya, dengan itu, wang tersebut boleh digunakan untuk program lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS