Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib terus jolok Nga Super Fans
Diterbitkan:  Oct 3, 2019 5:19 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak tetap menyorot laman Facebook “Nga Kor Ming Superfans Page” meskipun berdepan laporan polis kerana sebelum ini menghubungkan hantaran laman berkenaan dengan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming.

Dalam satu kenyataan tengah hari ini, bekas perdana menteri itu mendedahkan terdapat lapan pengendali laman Facebook ketika hantaran itu dibuat pada Isnin.

Bagaimanapun, katanya, bilangan pengendali itu berkurangan kepada lima selepas laporan polis dibuat terhadap laman itu, yang didakwa Najib, dilakukan atas arahan sultan.

“Goyang ke? Nama-nama siapa yang telah dikeluarkan? Kor Ming tahu atau tidak?” soalnya di Facebook.

Terdahulu, Najib berkata meskipun Nga mendakwa laman itu tidak ada kena mengena dengan dirinya, pengerusi DAP Perak itu tidak ada masalah berkongsi hantaran daripada laman tersebut sebelum ini.

Najib juga mengimbas kembali bagaimana dia menyaman Nga yang juga anggota parlimen Teluk Intan itu atas satu hantaran yang dikatakan memfitnahnya di laman “Nga Kor Ming Superfans” pada 2016.

“Saya telah tunjuk bukti page history untuk membuktikan page Nga Kor Ming Superfans merupakan laman asal atas namanya sejak tahun 2009.

“Nga Kor Ming sendiri pernah minta maaf kepada saya di mahkamah setelah saya saman fitnah dia kerana satu hantaran dari laman yang sama itu.

“Tapi hari ini dia kata page Nga Kor Ming Superfans merupakan laman yang menyamar diri mengguna nama Nga Kor Ming Super Fans Page tetapi ia bukan dari dia ataupun dari DAP.

“Tapi saya pun hairan kenapa Nga Kor Ming sanggup kongsi hantaran dari laman yang menyamar dia? Dia tak marah ada orang menyamar dan menggunakan nama dia?” soalnya di Facebook.

Najib berkata dia akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan sama ada Nga mempunyai kaitan dengan hantaran yang disifatkan tidak menghormati Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hantaran yang dimaksudkan mempunyai mesej meminta rakyat Malaysia berbangsa Cina yang kecewa dengan penurunan papan tanda jalan dwibahasa di Selangor untuk melakukan protes di hadapan sultan.

Tiga laman cermin yang pro-BN

Terdahulu, setiausaha sulit kanan Nga, Tan Tiong Yih membuat laporan polis terhadap Najib kerana berkongsi hantaran yang didakwa palsu itu.

Dalam laporannya, Tan mendakwa pengumuman yang dirujuk oleh Najib dimuat naik oleh pihak ketiga yang dinamakan 'Yu Xi Wan Yak', yang tidak mempunyai kaitan dengan Nga atau DAP.

Dia turut mendakwa terdapat sekurang-kurangnya tiga laman cermin (mirror pages) yang dinamakan "Super Fan Nga Kor Ming" untuk menghancurkan reputasinya.

Tan juga mendakwa laman Facebook berkenaan sebagai pro-BN.

Bagaimanapun, Najib berkata pautan kepada hantaran yang telah dipadam dari mirror page seperti yang didakwa itu menunjukkan 'Nga Kor Ming Super Fans Page' sebagai pengenalan (ID) laman Facebook yang telah wujud sejak 2009 dan bukanlah laman klon atau laman cermin.

Sebelum itu, Nga mengkritik Najib kerana mengaitkan dirinya dengan hantaran tersebut dan menuduhnya menghasut komuniti Cina untuk membenci sultan.

“Jangan terus terjerumus dalam kancah menabur fitnah, kerana dalam Islam, fitnah adalah satu dosa yang besar, tidak baik,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS