Pengerusi Badan Perhubungan MIC Perak, V Elango dilaporkan ke biro disiplin parti tersebut selepas didakwa menggunakan perkataan yang tidak menghormati bekas perdana menteri Najib Razak, Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden MIC, Dr S Subramaniam.
Timbalan Ketua MIC Cawangan Rungkup, Bahagian Bagan Datuk, Perak, S Subramaniam membuat laporan aduan di ibu pejabat MIC, hari ini.
"Ya, saya membuat laporan terhadap Ketua MIC Perak (Elango). Dia menghina pemimpin-pemimpin BN selepas dia dinafikan kerusi DUN Hutan Melintang pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.
"Dia juga mendakwa saya bersengkongkol dengan pemimpin PKR di Hutan Melintang untuk membuat konspirasi terhadapnya. Jadi, saya lapor ke biro disiplin untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap Elango," katanya kepada Malaysiakini.
Menurut Subramaniam aduan dibuat ke atas Elango selepas bekas pegawai khas Menteri Besar Perak Dr Zambry Abdul Kadir itu dikaitkan dengan satu mesej audio yang menjadi tular baru-baru di media sosial.
"Audio tersebut merupakan perbualan antara Elango dan seorang penyokong PKR, di mana Elango menggunakan perkataan tidak hormat terhadap Najib, Zahid dan Dr Subra selepas dinafikan kerusi Hutan Melintang.
"Dia juga dakwa saya bersengkongkol dengan PKR. Ini satu tuduhan yang jahat terhadap saya serta Elango jelas tidak hormati dan menghina pemimpin-pemimpin BN," jelasnya.
Ketika dihubungi, Setiausaha Agung MIC, M Asojan mengesahkan bahawa partinya menerima aduan berkaitan audio tersebut.
"Saya boleh sahkan terima aduan berkenaan satu audio. Tapi, saya tak dapat pastikan aduan dibuat terhadap siapa.
"Saya tidak baca kandungan surat kerana ia ditujukan kepada Presiden MIC (SA Vignesawaran)," tambahnya.
Untuk rekod, kerusi Hutan Melintang merupakan kerusi DUN di bawah kawasan parlimen Bagan Datuk yang secara tradisi ditandingi MIC. Namun, pada PRU yang lalu, kerusi tersebut diberikan kepada Umno selepas MIC kalah pada dua PRU sebelumnya.
Elango antara pemimpin MIC disenarai pendek bertanding di kerusi tersebut.
Zahid Hamidi merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk.
Sementara itu, Elango menafikan bahawa beliau menghina pemimpin BN.
"Saya nafi menghina pemimpin BN. Tapi saya mengakui Subramaniam (pengadu) mempunyai niat jahat terhadap saya.
"Sejak 2013, dia melobi untuk kerusi tersebut dan bekerjasama dengan orang luar untuk jatuhkan saya," katanya kepada Malaysiakini.
Tambah Elango bahawa aduan berkenaan merupakan taktik Subramaniam selepas gagal mendapat kerusi di PRU14.
"Semua orang tahu di MIC, bahawa dia cuba jatuhkan saya di Hutan Melintang," katanya.