Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

Lebih 100 penghantar makanan Foodpanda berkumpul di rumah Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Petaling Jaya, Selangor, malam ini bagi menyatakan rasa tidak puas hati dengan skim pembayaran baru syarikat itu.

Mereka yang hadir terdiri daripada penghantar di Johor, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Penghantar dari Pulau Pinang yang hanya mahu dikenali sebagai Sham, berkata pihak pengurusan mengugut untuk memecat mereka jika menyertai mogok bantahan terhadap skim pembayaran itu.

"Kalau tetap meneruskan mogok, pengenalan diri digital (ID) akan dihentikan terus, bukan digantung.

"Di Pulau Pinang sekurang-kuranya ada 500 penghantar yang kebanyakannya bekerja sepenuh masa. Gaji (mengikut skim pembayaran) baru dianggarkan berkurang hampir separuh daripada (skim) lama," katanya.

Pada 30 September lalu, iaitu hari sama skim pembayaran baru itu mula dikuatkuasa, sejumlah penghantar Foodpanda di beberapa negeri melancarkan mogok.

Seorang penghantar di Johor Bahru memberitahu Malaysiakini mogok dibuat dengan mereka masuk ke dalam sistem Foodpanda tetapi tidak mengambil pesanan.

Seorang lagi penghantar makanan Foodpanda, Mohd Hajit, mendakwa mereka ditindas oleh skim pembayaran baru itu.

Dia yang juga seorang mahasiswa berkata pendapatannya "hilang" dan tidak lagi seperti yang patut diraihnya.

"YB, saya tiada anak untuk ditanggung, tetapi saya pelajar dan tidak minta duit belanja dari ibu bapa," rintihnya.

Mereka mula memenuhi perkarangan rumah Syed Saddiq kira-kira pada pukul 9.30 malam.

Dalam sesi dialog selama dua jam itu, mereka yang hadir tidak melepaskan peluang untuk menyuarakan masalah yang dihadapi dan berharap ia dapat dibawa ke perhatian kabinet.

'Syarikat untung, pekerja tak dibela'

Syed Saddiq dalam ucapannya antara lain berkata beliau akan membawa isu itu kepada perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

"(Syarikat) untung berjuta tetapi pekerja tidak terbela...Bagi syarikat besar yang mendapat untung tinggi, mereka patut bertanggungjawab terhadap pekerja.

"Malah ada rider yang diugut (jika sertai mogok), ini jelas bertentangan dengan undang-undang. Kita tak boleh berpihak kepada korporat besar tetapi pada masa sama pekerja tertindas. Itu jelas salah. Saya akan bawa isu ini kepada perdana menteri," katanya yang turut menggesa agar Foodpanda kembali kepada skim pembayaran sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan pertemuannya dengan wakil pengurusan Foodpanda pagi tadi.

"Saya tanya ada perbezaan dari segi gaji? Mereka kata sepatutnya (gaji) lebih baik. Saya juga tanya kalau ada impak yang jelas kepada rider. Mereka kata akan pertimbang jika kebajikan rider terjejas."

Sejumlah penghantar kemudian membalas dengan melaungkan "ada" (kesan terhadap mereka).

 Dalam skim baru itu, yang berkuatkuasa hari ini bagi penghantar makanan di luar Lembah Klang, bayaran mengikut jam dimansuhkan tetapi pada masa sama bayaran setiap pesanan dinaikkan kepada antara RM4.50 hingga RM7.

Ia berbeza dengan sebelum ini apabila penghantar dibayar RM4 sejam, dan mendapat bayaran tambahan bagi setiap pesanan, manakala bayaran pesanan adalah di antara RM3 hingga RM5 berdasarkan prestasi penghantar.

Pada 28 September lalu, Pengarah Urusan Foodpanda Sayantan Das berkata perubahan itu untuk membolehkan penghantar makanan yang mahu bekerja lebih mendapat kuantiti penghantaran tinggi justeru mendapat lebih pendapatan.

Selain itu penghantar juga mendapat bayaran lain antaranya bonus RM100 jika bekerja selama 60 jam seminggu, kata Sayantan seperti dipetik Bernama.

Bagaimanapun Oriental Daily melaporkan penghantar Foodpanda mengadu perlu menunggu dua hingga tiga jam tanpa menerima sebarang pesanan.

"Sebagai perbandingan, bayaran sebelum ini RM4 sejam, memberikan mereka pendapatan asas walau jika tidak menerima pesanan," kata laporan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS