Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
UMK minta sumbangan orang ramai bina telaga, penapis air
Diterbitkan:  Oct 1, 2019 5:55 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Berdepan gangguan bekalan air sejak lapan tahun lalu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memutuskan untuk membina dua telaga tiub dan penapis air dengan anggaran kos berjumlah RM400,000.

Justeru pihak universiti hari ini memohon sumbangan orang ramai bagi melaksanakan projek tersebut.

Naib Canselor UMK Prof Dr Noor Azizi Ismail, berkata projek itu, yang dirancang bermula dalam tempoh terdekat, dijangka mampu menampung keperluan 2,300 penuntut di kampus UMK Bachok.

"Pengguna yang paling terjejas ialah pelajar di tempat penginapan, pegawai dan kakitangan di bangunan Canselori yang tinggi. Tekanan air yang rendah menyebabkan air tidak naik ke tangki.

"Pembinaan telaga tiub cetek sedia ada tidak dapat menampung keperluan dan kakitangan yang akan mencecah 7,000 orang dalam masa beberapa tahun lagi.

"Bagi mengatasi isu bekalan air, dua buah lagi telaga tiub perlu dibina dengan sebuah telaga sudah mula dibina sejak Sabtu lalu dan sebuah telaga lagi akan dibina dalam kadar segera," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Justeru Noor Azizi berkata pihak universiti berharap orang ramai yang prihatin dapat turut menyumbang - melalui apa juga bentuk - bagi menjayakan projek itu.

"Bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapat pahala berpanjangan, UMK melancarkan satu tabung infaq untuk tujuan tersebut," katanya.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Mualamat Sdn Bhd 0301 – 0006484-71-0 atau hubungi Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Pusat Islam UMK, Mohd Binyamin Che Yaacob (014 8371158) untuk sebarang pertanyaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS