Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau sengaja memilih tarikh yang sama dengan perhimpunan agung Umno dan MCA.

“SPR mempunyai 60 hari dari tarikh kekosongan yang ditetapkan untuk laksanakan pilihan raya kecil (PRK) ini. Tempoh 60 hari ini tamat pada 23 November.

“Cuti mingguan Johor ialah Jumaat dan Sabtu. PRK tidak patut diadakan pada Jumaat kerana umat Islam wajib sembahyang Jumaat. Hari Ahad pula ialah hari bekerja di Johor. Jadi, cuma hari Sabtu yang boleh digunakan untuk PRK ini.

“Dari hari tersebut, terdapat lapan hari Sabtu yang boleh diadakan PRK. Mari kita selidik kesesuaian tarikh tarikh ini,” katanya.

Beliau seterusnya memberi lima senario berhubung tarikh-tarikh yang dicadangkan itu.

"(Hari) pencalonan pada 5 Oktober dan hari mengundi pada 19 Oktober. Ini tidak sesuai kerana 5 Oktober adalah Hari Hol Almarhum Sultan Iskandar.

"(Hari) pencalonan pada 12 Oktober dan hari mengundi pada 26 Oktober . Ini juga tidak sesuai kerana sambutan Deepavali adalah pada 27 Oktober. Tempoh berkempen juga akan berada sepanjang tempoh cuti Deepavali," katanya.

Manakala hari pencalonan pada 19 Oktober dan hari mengundi pada 2 November juga tidak sesuai.

Ini kerana menurut Azhar, tempoh berkempen turut berada di dalam masa cuti Deepavali.

Lagipun, katanya jika hari mengundi adalah pada 2 November, maka undi awal terpaksa dijalankan pada 28 Oktober, iaitu sehari selepas cuti Deepavali.

“Jadi yang tinggal hanyalah penamaan calon pada 2 November dan hari mengundi pada 16 November.

“Itulah tarikh yang paling sesuai setelah mengambil kira faktor-faktor cuti umum dan fakta bahawa hari minggu Johor ialah Jumaat dan Sabtu,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Azhar, SPR tidak mahu mengadakan PRK pada Sabtu minggu berikutnya iaitu 23 November kerana ia adalah hari terakhir dalam tempoh 60 hari.

Katanya, ini akan memberi margin tujuh hari sekiraya berlaku apa-apa yang tidak terduga yang menyebabkan PRK tidak dapat dijalankan pada 16 November,” katanya.

Menurutnya, SPR tidak berniat untuk menyusahkan pihak pembangkang, khususnya, Umno dan MCA yang akan mengadakan perhimpunan agung parti masing-masing pada tarikh berkenaan.

“(Justeru), segala kesulitan amatlah dikesali,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tarikh PRK parlimen Tanjung Piai yang ditetapkan SPR hari ini.

Katanya, SPR seperti mempunyai niat yang tidak baik terhadap partinya dalam pemilihan tarikh berkenaan.

MCA turut mempersoalkan pemilihan tarikh mengundi dan tempoh berkempen yang turut bertembung dengan perhimpunan agung parti itu.

Sedangkan, dari sudut matematik, kata Presiden MCA Wee Ka Siong kebarangkalian itu amat kecil sekali.

SPR pagi tadi mengumumkan tarikh penamaan calon bagi parlimen itu pada 2 November manakala hari mengundi pula pada 16 November.

Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung dari 13 hingga 16 November dan MCA pula ada 2 dan 3 November.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik dari Pakatan Harapan-Bersatu pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Tanjung Piai merupakan kerusi tradisi MCA dan ketua parti berkenaan Wee Jeck Seng telah menyandang kerusi tersebut selama dua penggal sebelum tewas pada PRU14 kepada Dr Farid.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS