Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akar umbi Umno desak - serah kepada kami Tg Piai atau ada akan sabotaj
Diterbitkan:  Oct 1, 2019 12:33 PM
Dikemaskini: 4:33 AM

Akar umbi Umno di bahagian Tanjung Piai, Johor mahu kerusi yang baru dikosongkan susulan kematian ahli parlimennya, Dr Mohd Farid Mohd Rafik diserahkan kepada ketua bahagian itu, Jefridin Atan, untuk bertanding pada pilihanraya kecil akan datang.

Menurut laporan The Malaysian Insight, semua 88 pemimpin cawangan di bahagian itu sebulat suara bersetuju dengan keputusan berkenaan dan mereka menuntut agar MCA memberi laluan kepada calon Umno, walaupun secara tradisinya kerusi itu milik parti Cina tersebut.

“Kalau semua ketua cawangan sudah desak supaya Umno yang bertanding, siapa lagi calon yang layak kalau bukan ketua bahagian. Pemimpin atasan kena pandang serius perkara ini sebab inilah jentera yang akan menggerakkan kempen nanti.

“Kalau calon lain diletakkan, atau MCA yang bertanding, kemungkinan untuk berlakunya sabotaj seperti sebelum ini sangat tinggi.

“Lagipun nama Jefridin tidak lagi asing. Dalam PRU14 pun sudah disebut-sebut sebagai calon,” kata laporan yang memetik sumber itu.

Pada Sabtu lalu, 88 ketua cawangan Umno Bahagian Tanjung Piai dalam satu mesyuarat khas meluluskan resolusi mendesak MCA menyerahkan kerusi Parlimen Tanjung Piai kepada Umno.

Mesyuarat khas itu dihadiri kepimpinan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Tanjung Piai.

Sementara itu, portal itu turut memetik Jefridin sebagai berkata, keputusan untuk mengambil alih kerusi berkenaan dibuat selepas MCA gagal mengekalkan sokongan pengundi terhadap BN malah semakin merosot dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya.

Pakatan Harapan merampas kerusi Tanjung Piai dari MCA melalui Dr Mohd Farid Mohd Rafik dari parti Bersatu pada pilihan raya umum lepas.

Menang tipis

Mohd Farid menang tipis dengan memperoleh sejumlah 21, 555 undi mendahului seterunya, Wee Jeck, pada 21 Sept lalu - Mohd Farid meninggal dunia akibat serangan jantung baru-baru ini.

“Masa PRU14, Wee kalah di sembilan saluran majoriti pengundi Cina dan di beberapa saluran campuran dia hanya menang tipis.

“Dari segi peratusan, undi MCA semakin merosot sejak PRU12 dan akhirnya tewas dalam PRU14,” kata Jefridin.

 

Presiden MCA Wee Ka Siong enggan mendedahkan sama ada MCA bersedia menyerahkan kerusi itu kepada Umno. Sebaliknya, kata beliau, pengumuman rasmi mengenai calon BN akan dilakukan bersama-sama oleh ketiga-tiga parti komponen itu.

Sebelum ini, Pengerusi Bahagian Kapar MCA, Song Kee Chai dan ahli-ahlinya mengancam untuk meninggalkan parti itu jika calon untuk pilihan raya kecil adalah dari Umno.

"Biar mati berdiri dari hidup melutut. MCA perlu hidup dengan bermaruah!" katanya.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai hampir 54,000 pengundi dengan 57 peratus terdiri daripada orang Melayu dan 42 peratus undi pengundi Cina. Secara tradisinya ia merupakan kerusi MCA dan sebelum ini pernah dimenangi oleh presiden MCA, Ong Ka Ting.

Bekas Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin juga adalah di antara calon yang disebut-sebut sebagai calon berpotensi Umno untuk kerusi Tanjung Piai.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS