Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 November
Diterbitkan:  Oct 1, 2019 12:09 PM
Dikemaskini: 5:54 AM

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini dan pengundian awal pada 12 November.

Bercakap pada sidang media di Putrajaya selepas mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRK itu, pengerusinya, Azhar Azizan Harun turut mengumumkan hari penamaan calon ditetapkan pada 2 November.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik dari Pakatan Harapan-Bersatu pada 21 Sept lalu akibat komplikasi jantung.

Dr Md Farid, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, seorang anestesiologi dari segi profesion, membantu PH merampas kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai memperolehi 21,255 undi menewaskan Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi.

Wee memperolehi 20,731 undi manakala Nordin, 2,962 undi.

 

PRK Tanjung Piai adalah yang kesembilan selepas PRU14 pada 9 Mei 2018.

PRK sebelum ini adalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia, Semenyih dan Rantau manakala PRK bagi kawasan parlimen pula ialah Cameron Highlands, Port Dickson dan Sandakan.

"Tempoh berkempen ialah 14 hari,” kata Azhar, sambil menambah ia bermula selepas pengisytiharan calon sehingga 11.59 malam, 15 Nov.

Beliau berkata SPR akan menggunakan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

Beliau berkata PRK Tanjung Piai dianggarkan memerlukan peruntukan RM2.67 juta.

Seramai 1,019 petugas dilantik bagi mengendalikan PRK tersebut dan 28 buah pusat pengundi yang mengandungi 127 saluran mengundi terlibat, katanya.

Azhar berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan untuk PRK Tanjung Piai adalah sehingga suku tahun kedua 2019 yang dikemaskini sehingga 23 Sept 2019.

“Daftar pemilih tersebut mengandungi 52,986 pengundi yang terdiri daripada 52,698 orang pengundi biasa, 280 pengundi awal dan lapan orang pengundi tidak hadir luar negara,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Azhar sebagai berkata SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada PRK Tanjung Piai.

Beliau berkata SPR melakukan penambahbaikan dengan menyediakan dua saluran khas, khusus bagi pengundi berumur 60 tahun dan ke atas di setiap pusat mengundi dan memanjangkan tempoh masa pengundian dari 8 pagi hingga 5.30 petang berbanding 5 petang pada PRU14.

Penambahbaikan lain melibatkan penambahan 26 saluran baharu bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran, yang menjadikan keseluruhannya 127 saluran berbanding 101 saluran pada PRU14, katanya.

Pengundi orang kurang upaya (OKU) pula akan mengundi di saluran satu, katanya.

Pada PRK Tanjung Piai itu, seramai 981 orang pengundi OKU telah dikenal pasti dan mereka berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, katanya.

Azhar berkata SPR akan menghantar kad pengundi yang mengandungi maklumat pusat mengundi, saluran mengundi, nombor bilangan pengundi, tarikh dan masa pengundian kepada semua pegundi di Tanjung Piai.

Mulai 16 Okt, pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui laman portal www.spr.gov.my atau menelefon ke talian 03-88927018 atau melalui mesej pesanan ringkas (SMS) ke 15888 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Azhar berkata borang penamaan calon boleh dibeli mulai 8 Okt di pejabat pegawai pengurus pilihan raya atau pejabat daerah Pontian atau pejabat pilihan raya negeri Johor atau di ibu pejabat SPR.

"Untuk memudahkan proses penamaan calon, bakal calon yang ingin bertanding diminta agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan pihak pejabat pegawai pengurus atau pejabat pilihan raya negeri Johor sebelum hari penamaan calon,” katanya.

Bakal calon juga dinasihatkan membuat pembayaran deposit lebih awal bertujuan memastikan proses penamaan calon pada hari penamaan dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar, katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS