Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari ke-16: Peguam Najib perlukan 2 minggu untuk soal balas bekas CEO 1MBD

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan salahguna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB memasuki hari ke-16 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


Pembelaan perlukan 2 minggu untuk soal balas bekas CEO 1MDB: Shafee

12.17 tengah hari: Peguam Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pihak pembelaan memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu untuk menyoal balas bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

"Minimum dua minggu," kata Shafee ketika hakim Collin Lawrence Sequerah bertanya berapa lama pihak pembelaan perlu memeriksa balas saksi kesembilan pihak pendakwaan itu.

Hakim kemudian membenarkan prosiding diteruskan pada Isnin minggu depan untuk membenarkan pihak pembelaan menyediakan soalan untuk pemeriksaan balas terhadap Shahrol.

Prosiding kemudian ditangguhkan untuk hari itu dan akan disambung semula Isnin depan.


Gaji Shahrol RM99,000 sebulan sebelum tinggalkan 1MDB pada 2013

12.20 tengah hari: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB berkata beliau mendapat RM99,000 setiap bulan ketika bersama syarikat itu.

Keterangan itu menyebabkan timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram berseloroh dengan mengatakan dirinya berada dalam profesion yang salah.

Mahkamah diberitahu oleh Shahrol Azral Ibrahim Halmi bahawa beliau mendapat RM80,000 sebulan ketika mula-mula menyertai perintis 1MDB iaitu Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), sebagai CEO pertama pada tahun 2009.

Menurut Shahrol, beliau menerima kenaikan gaji setiap tahun dan mendapat RM99,000 gaji bulanan sehingga peletakan jawatannya daripada syarikat itu pada tahun 2013.

Gopal Sri Ram (gambar bawah), yang melakukan pemeriksaan utama terhadap saksi itu kemudian bertanya Shahrol jika jumlah itu sebelum atau selepas cukai. 

Shahrol berkata jumlah berkenaan adalah sebelum cukai.

In menyebabkan Gopal berkata "Saya dalam profesion yang salah", yang mengundang ketawa daripada mereka yang berada di mahkamah.

Selain gaji bulanan, Shahrol berkata, dia juga menerima RM179,000 setahun sebagai ahli lembaga pengarah 1MDB, manakala bagi setiap mesyuarat lembaga yang dihadirinya, beliau akan menerima RM1,500.

Mahkamah juga diberitahu bahawa Shahrol menerima bonus selama 18 bulan sama ada pada tahun 2012 atau 2013 di mana ketika itu gajinya masih RM80,000 sebulan.


Najib, Jho Low tunjuk rasa sangat selesa antara satu sama lain

12.05 tengah hari: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata dari bahasa badan Najib Razak dan Jho Low, beliau percaya kedua-duanya "positif dan sangat selesa".

Shahrol berkata ini berdasarkan pemerhatiannya apabila Jho Low hadir di kediaman Najib beberapa kali.

Menurut Shahrol, beliau juga percaya Jho Low sangat rapat dengan keluarga Najib.

"Berdasarkan bahasa badan dan Jho yang bukan hanya biasa dengan  susun atur rumah (Najib), tetapi juga cara dia berkomunikasi dengan saya mengenai ahli keluarga lain membuatkan saya percaya dia cukup rapat".


Saksi - Bekas Ketua PAC, Hasan Arifin beritahu saya agar remehkan peranan Najib dalam 1MDB

11.55 pagi: Sebelum pendengaran Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2015, Pengerusi PAC Hasan Arifin (gambar bawah) ketika itu bertemu bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi untuk meremehkan penglibatan Najib Razak dalam membuat keputusan 1MDB.

Mahkamah diberitahu oleh saksi kesembilan itu ketika pemeriksaan utama yang dijalankan oleh timbalan pendakwa raya, Gopal Sri Ram.

Shahrol berkata mesyuarat pendengaran pra-PAC adalah untuk menyediakan jenis soalan dan membincangkan kandungan laporan itu.

"Dia (Hasan) beritahu saya (semasa pendengaran pra-PAC) tentang pemikiran jawatankuasa dan apa yang akan berlaku dalam laporan itu.

"Mesej yang kuat diberikan bahawa ini adalah serangan politik terhadap perdana menteri (Najib) dan untuk meremehkan sebarang peranan Najib dalam keputusan 1MDB," kata Shahrol.


Rahman Dahlan bincang untuk remehkan peranan Najib sebelum pendengaran PAC: Saksi

11.47 pagi:  Sebelum Pendengaran Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2010, anggotanya Abdul Rahman Dahlan (gambar bawah) berbincang dengan CEO 1MDB ketika itu, Shahrol Azral Ibrahim Halmi untuk meremehkan peranan perdana menteri Najib Razak dalam syarikat berkenaan.

Shahrol berkata sebelum pendengaran PAC 2010, ahli perniagaan yang dikehendaki Jho Low juga telah memberikannya 'talking point' yang perlu dibincangkan.

"Dia (Jho Low) juga mengaturkan agar saya bertemu dengan salah seorang anggota PAC dari BN sebelum pendengaran yang sebenar.

"Saya bertemu Rahman Dahlan, beliau adalah ahli jawatankuasa (PAC) pada masa itu dan kami bercakap mengenai jenis soalan yang PAC akan tanya kepada saya.

"Temanya adalah untuk meremehkan Najib dan penglibatan Jho Low dalam membuat keputusan (1MDB)," kata Shahrol.


Lembaga 1MDB diberitahu untuk remehkan peranan Najib, Jho Low sebelum disoal SPRM

11.45 pagi : Mahkamah mendengar keterangan daripada Shahrol Azral Ibrahim Halmi bahawa Jho Low telah memberi taklimat kepada ahli lembaga 1MDB sebelum mereka dipanggil oleh SPRM dan polis pada 2015 dan 2016.

Shahrol, yang pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB dari tahun 2009 hingga 2013, berkata ahli perniagaan itu telah memberikan mereka 'talking point' tentang apa yang harus diberitahu pihak berkuasa apabila ditanya mengenai syarikat itu.

"Taklimat itu menggariskan dua tema utama. Nombor satu adalah untuk meminimumkan atau meremehkan penglibatan Datuk Seri Najib dan Jho Low (gambar atas) dalam membuat keputusan di SRC International dan 1MDB.

"Dan nombor dua ialah semua ini adalah serangan politik terhadap perdana menteri," kata Shahrol memberitahu mahkamah.

Untuk rekod, SRC International pernah menjadi anak syarikat 1MDB sebelum menjadi syarikat langsung di bawah MOF Incorporated.


11:39 pagi: Prosiding disambung semula dengan ketua timbalan pendakwa raya (DPP) Gopal Sri Ram menyoal bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, sejurus selepas saksi itu menghabiskan 270 halaman kenyataan saksinya.

'Saya dibuang lepas nyatakan kebimbangan mengenai kecepatan transaksi kewangan'

10.17 pagi: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata dia disingkirkan dari 1MDB kerana melahirkan rasa tidak puas hati dengan bagaimana cepatnya transaksi dana dilakukan.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Gopal Sri Ram.

"Saya mengesyaki bahawa saya dibuang dari 1MDB kerana pada masa itu saya sering menyatakan keresahan dengan betapa cepatnya transaksi kewangannya dilakukan.

"Bagaimanapun, saya masih di dalam lembaga 1MDB pada masa itu, dengan alasan yang diberikan oleh Jho Low untuk melakukan 'pengurusan optik'.

"Selepas kecoh isu 1MDB pada 2015 dan 2016, BOD (lembaga pengarah) 1MDB sebulat suara mencadangkan kepada Najib untuk meletak jawatan tetapi kami diarahkan untuk kekal dalam BOD, sehingga BOD baru dilantik pada 2016," kata Shahrol.

Shahrol kemudian menghabiskan baki keseluruhan 270 halaman keterangan saksinya, dan kemudian menandatangani dokumen berkenaan. 

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah kemudian membenarkan prosiding berhenti rehat seketika.


Juruaudit KPMG persoal mengenai aset asing 1MDB - Saksi

10.50 pagi: Mahkamah diberitahu dari tahun 2012 hingga 2013, juruaudit KPMG mempersoalkan nilai sebenar aset antarabangsa yang dimiliki oleh 1MDB.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata bagaimanapun, KPMG tidak dapat mengesahkan nilai aset pelaburan oleh Bridge Global Absolute Return Fund SPC (Syarikat Tujuan Khas atau SPV)

"Ini disebabkan oleh Bridge Global Absolute Return Fund SPC melalui Bank BSI  memberi alasan kerahsiaan aset pelanggan untuk tidak memberikan maklumat penuh mengenai aset sandaran (underlying asset)," kata Shahrol.


Ketirisan 1MDB melalui penyaluran dana yang dipinjamkan untuk projek nasional - Shahrol

10.07 pagi - Pola ketirisan dari 1MDB dari tahun 2009 hingga 2013 melalui penyaluran beberapa dana yang dipinjamkan untuk projek nasional.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata demikian semasa pemeriksaan utama dijalankan oleh DPP Gopal Sri Ram.

"Kini saya sedar corak ketirisan dari 1MDB dari tahun 2009 hingga 2013 kebiasannya sebab meminjamkan dana untuk projek-projek yang kononnya baik untuk negara dan menyedut sebahagian dana yang dipinjam.

"Sepanjang tahun-tahun itu, kaedah yang digunakan oleh pelaku telah ditapis dan diperketatkan, dalam erti kata 'talking points' dan garis masa mandat untuk pengumpulan dana telah meninggalkan sedikit ruang untuk dibincangkan di peringkat pengurusan 1MDB dan Lembaga Pengarah.

"Sebagai contoh, semasa usaha sama PSI 2009 (Petro Saudi International), terdapat perbincangan dalam BOD mengenai pelaburan berkenaan.

"Berbanding dana pelaburan bersama AS $ 6 bilion pada 2013 dengan IPIC (ADMIC atau Abu Dhabi Malaysia Investment Company Limited) yang dilakukan semata-mata melalui DCR (resolusi pekeliling pengarah) dan Resolusi Pemegang Saham," kata Shahrol.


1MDB berhutang RM30b pada tahun 2013, beban pada kerajaan M'sia

10 pagi: Mahkamah diberitahu oleh bekas CEO 1MDB bahawa semua hutang syarikat itu perlu ditanggung oleh Kementerian Kewangan dan kerajaan persekutuan disebabkan ia dimiliki sepenuhnya oleh kementerian itu.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi, yang berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB dari tahun 2009 sehingga peletakan jawatannya pada Mac 2013, memberi keterangan bahawa syarikat itu mempunyai hutang berjumlah kira-kira RM30 bilion pada masa itu.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh DPP Gopal Sri Ram.

Gopal: Kamu bersama 1MDB dari tahun 2009 hingga 2013, apabila kamu meninggalkannya terdapat kira-kira RM30 bilion (hutang), siapa tanggung ini pada akhirnya?

Shahrol: MOF, dan kerajaan Malaysia disebabkan fakta bahawa 1MDB dimiliki sepenuhnya oleh MOF.

Menurut saksi, hutang-hutang ini termasuk bon RM5 bilion yang dikeluarkan oleh syarikat itu yang dijamin oleh MOF, dan bon berikutnya berjumlah AS$ 3.5 bilion yang dijamin bersama oleh IPIC dan MOF.

Mengenai jaminan bersama, Shahrol berkata sekiranya berlaku keingkaran, 1MDB sepatutnya membayar terlebih dahulu dan sekiranya ia tidak dapat membayar, pemegang bon boleh memanggil jaminan IPIC.

Menurut keterangannya, IPIC akan menuntut wang tersebut untuk membayar pemegang bon dari MOF.

Beliau memberi keterangan bahawa IPIC telah membuat tuntutan sedemikian sebelum ini, dan ia dibangkitkan semasa salah satu mesyuarat lembaga 1MDB sama ada pada tahun 2015 atau 2016, yang mana Shahrol mengatakan dia tidak ingat tarikh sebenar.


Najib tak pernah tanya apa berlaku pada wang 1MDB lepas berita skandal meletus

9.55 pagi: Bekas Perdana Menteri Najib Razak tidak pernah bertanya pengurusan 1MDB mengenai apa yang berlaku kepada wang yang telah diagihkan kepada pelbagai pihak, mahkamah diberitahu daripada saksi hari ini.

Saksi, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dalam keterangannya berkata Najib tidak pernah memanggil mesyuarat lembaga pengarah selepas berita mengenai skandal kewangan syarikat itu berlaku pada tahun 2014.

Gopal: Selepas skandal 1MDB didedah, saya percaya pada tahun 2014, adakah tertuduh memanggil kamu dan bertanya kamu apa yang berlaku kepada wang ini?

Shahrol: Tidak.

Gopal: Saya maksudkan semua wang yang 1MDB telah diagihkan kepada pelbagai pihak.

Shahrol: Tidak dia tidak pernah lakukan itu.

Gopal: Dia hubungi kamu dan ahli-ahli lembaga yang lain untuk mesyuarat?

Shahrol: Tidak

Gopal: Tanya di mana pergi wang ini?

Shahrol: Tidak pernah.


Perjanjian 1MDB- Aabar Investment adalah 'baby' Najib

9.45 pagi: Mahkamah diberitahu perjanjian perkongsian strategik bernilai RM18 bilion yang dimeterai antara 1MDB dan anak syarikat IPIC Aabar Investment PJS merupakan 'baby' kepada Perdana Menteri Najib Razak ketika itu.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan berkaitan perjanjian berkenaan yang ditandatangani pada majlis yang diberi liputan media di Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya pada 12 Mac 2013.

Saksi ke-9 itu berkata perjanjian itu turut ditandatangani oleh Pengerusi 1MDB ketika itu Lodin Wok Kamaruddin dan Pengerusi Aabar Khadem Al Qubaisi.

Beliau berkata majlis tersebut diadakan dengan kehadiran Najib dan Timbalan Ketua Angkatan Tentera UAE, Jeneral Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

"Kehadiran Najib pada majlis itu dan di majlis PMO juga menunjukkan Najib jelas mempunyai kepentingan dan ia merupakan 'baby' Najib. Tindakan Najib sejajar dengan rancangan Jho Low," kata Shahrol ketika pemeriksaan utama dijalankan oleh Ketua DPP Gopal Sri Ram.


9.30 pagi: Tertuduh Najib Razak memasuki mahkamah dan mengambil tempat duduk di baris hadapan galeri awam sambil menunggu perbicaraan bermula.

Turut kelihatan di mahkamah ialah Ketua Timbalan Pendakwa Raya DPP Gopal Sri Ram dan lain-lain, serta peguam bela utama tertuduh Muhammad Shafee Abdullah dan pasukannya.

 


Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dijangka menghabiskan kenyataan saksi sebanyak 28 muka halaman daripada keseluruhan 270 halaman pada hari ke-16 perbicaraan terhadap Najib Razak.

Berdasarkan pemeriksaan utama yang dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Gopal Sri Ram pada lima hari terakhir perbicaraan minggu lalu, pihak pendakwaan sepatutnya selesai menyoal saksi kesembilan itu hari ini.

Dalam prosiding semalam, Shahrol berkata beliau mendengar daripada ahli perniagaan yang dikehendaki, Jho Low, bahawa penjanaan dana yang dikaitkan dengan usahasama yang dicadangkan antara 1MDB dan Aabar - anak syarikat International Investment Company (IPIC) - akan memberi kesan besar ke atas Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan datang.

Shahrol memberitahu mahkamah bahawa Najib ketika itu tidak pernah bercanggah dengan arahan yang diberikan Jho Low kepada saksi berkenaan, yang membuatkannya (Shahrol) percaya bahawa ahli perniagaan itu mempunyai mandat dari Najib untuk bertindak atas nama tertuduh.

Saksi pendakwaan itu juga menyatakan lebih AS$ 790 juta deposit keselamatan dibayarkan oleh 1MDB sebagai sebahagian daripada pengambilalihan penjana tenaga bebas, Genting Sanyen disyaki diselewengkan oleh Jho Low.

Selepas Shahrol menamatkan pemeriksaan utama oleh pendakwaan hari ini, pasukan pembelaan Najib pula akan berpeluang menyoal saksi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS