Masak mi segera tanpa api? Dengar macam mustahil tetapi seorang guru di Kangar, Perlis membuktikan, dengan sains, perkara itu boleh dilakukan.
Bagi membuktikan perkara itu, Cikgu Arifah atau nama penuhnya Arifah Raedah Muhamad Pauzi, menganjurkan pertandingan memasak gaya itu dengan pelajarnya di SMK Dato’ Ali Ahmad.
"Sekarang kita dah tak ikut gaya penilaian berdasarkan peperiksaan macam dulu," kata Arifah.
"Silibus diubah suai mengikut keperluan dan peredaran zaman yang memerlukan pelajar-pelajar meneroka, menyiasat dan menganalisis sendiri setiap projek yang dilaksanakan."
Aktiviti itu dianjurkan sempena Karnivel Stem - science, technology, engineering dan mathematic (sains, teknologi, kejuruteraan, matematik) sekolah itu.
Stem ialah pilihan kurikulum sekolah untuk meningkatkan daya saing dalam bidang sains serta teknologi kepada pelajar.
Bagi pertandingan itu Cikgu Arifah, 34, menyediakan kotak, tin aluminium, cermin, keranjang aluminium dan kertas hitam.
Tiada api.
Dan pelajar hendaklah berfikir bagaimana membentuk periuk solar, termasuk menggunakan sudut yang sesuai untuk memerangkap haba daripada cahaya semaksimum mungkin.
Jika kena caranya, kata cikgu asal Pokok Sena, Kedah itu, cahaya matahari pagi juga tiada masalah.
“Tidak perlu menunggu matahari terik pada waktu tengah hari.
“Seawal 9 pagi aktiviti memasak dapat dijalankan,” kata cikgu sains itu ketika dihubungi Malaysiakini baru-baru ini.
Ditanya berkaitan rasanya, Cikgu Arifah berkata, ia “tidak kurang hebat” seperti mi segera yang dimasak dengan air panas yang dijerang.
Lebih sedap lagi, kata cikgu itu, ada pelajar membawa sosej dan udang untuk menyedapkan masakan mereka.
Berdasarkan sains, kata cikgu itu, keranjang aluminium akan memerangkap haba, cermin untuk memantulkan haba pada tempat dikehendaki dan kertas hitam bertindak sebagai penyerap haba.
Seramai 13 orang mengikuti pertandingan itu melibatkan pelajar tingkatan satu, dua dan tingkatan empat.
Arifah mendedahkan dia mendapat idea untuk pertandingan itu daripada sebuah karnival inovasi teknologi hijau.
Beliau juga memberitahu Malaysiakini bahawa dia berharap aktiviti di luar bilik darjah dapat membantu pelajar mengukuhkan kefahaman terhadap konsep yang dipelajari dalam kelas.
Guru Nadi Negara itu gemar berkongsi segala aktiviti pembelajarannya di akaun Twitternya.