Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada bacaan doa Kristian di sekolah, kata anggota PIBG

Seorang anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Perempuan Methodist di Pulau Pinang menafikan bacaan doa Kristian dibuat ketika majlis penyampaian anugerah sekolah itu.

Dia yang enggan dinamakan sebaliknya berkata hanya doa kesyukuran umum (thanksgiving prayer) yang dibacakan dan ia memang sentiasa dibuat ketika acara tahunan itu.

"Ketika majlis setiap tahun, akan ada doa yang dibuat untuk kedua-dua penganut Kristian dan Islam tetapi kerana masalah jerebu, acara (tahun ini) dipendekkan dan hanya doa kesyukuran yang dibaca.

"Tiada niat jahat berhubung perkara itu, dan pastinya tiada niat untuk menyebarkan agama Kristian kepada sesiapa," katanya.

Dia berkata terpanggil untuk menjelaskan perkara itu selepas membaca kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy, yang menyifatkan amaran Kementerian Pendidikan terhadap sekolah itu sebagai 'double standard' dan isu itu telah dibesar-besarkan.

Menggesa kementerian menyiasat dahulu sebelum membuat kesimpulan, Ramasamy juga berkata beliau telah menyiasat insiden itu dan menyokong kenyataan anggota PIBG tersebut.

Pengarah eksekutif sekolah itu Khor Hon Hing enggan mengulas perkara itu ketika dihubungi, manakala jabatan pendidikan negeri belum memberi maklum balas terhadap pertanyaan Malaysiakini.

Terdahulu hari ini, Ketua Pengarah Pelajaran Dr Amin Senin memberikan amaran keras kepada sekolah itu dan sedang mempertimbang keperluan untuk mengambil tindakan tata tertib.

Laporan polis juga dibuat berkenaan perkara itu dan Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/ Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya sedang menyiasatnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS