LANGSUNG l Hari ini bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, akan menyambung semula keterangannya di depan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah.
Saksi kesembilan pendakwaan itu dijangka akan membaca keterangannya mulai halaman 175 daripada 270 halaman yang disiapkan.
Pendakwaan diketuai bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram, manakala pihak pembelaan diketuai peguam kanan, Muhammad Shafee Abdullah.
Bekas perdana menteri, Najib Razak, berdepan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana R<M2.28 bilion.
LANGSUNG
Sri Ram buat lawak soal jika bicara boleh dilanjut hingga 8 malam
5.24 petang - Mahkamah gelak seketika apabila ketua pendakwaan Gopal Sri Ram berseloroh dengan menyoal sama ada prosiding hari ini boleh dilanjutkan sehingga jam 8 malam ini.
Soalan bekas hakim mahkamah persekutuan itu mengundang gelak ketawa selepas bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi mengakhiri pernyataan saksinya pada halaman 242 untuk hari ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah kemudian menangguhkan prosiding hari ini dan berkata perbicaraan akan bersambung pada jam 9.30 pagi esok.
Jho Low kata cadangan usaha sama Aabar beri kesan besar kepada PRU13 - Shahrol
4.24 petang - Ahli perniagaan yang menjadi buruan, Jho Low memberitahu bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi bahawa usaha sama Aabar memberi kesan besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
"Jho Low juga memaklumkan kepada saya ketika itu bahawa usaha sama Aabar akan mempunyai kesan besar pada Pilihan Raya Umum ke-13.
"Saya tidak bertanya lebih lanjut mengenai perkara itu, saya hanya menyimpulkan bahawa pengumpulan dana itu pasti ada kaitannya dengan PRU13," katanya.
Shahrol merujuk kepada resolusi pekeliling pengarah 1MDB (DCR) yang diluluskan pada 25 Feb, 2013, untuk membentuk usahasama dengan Aabar untuk pelaburan global.
Shahrol berkata usahasama berjumlah AS$6 bilion yang melibatkan pembahagian 50:50 antara 1MDB dan Aabar.
'Bos akan redah surat sokongan untuk bon AS$ 3bilion’
4 petang - Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi mendakwa bahawa Jho Low pernah memberitahunya bahawa perdana menteri dan menteri kewangan, ketika itu, Najib Razak akan memastikan kementerian kewangan akan mengeluarkan surat sokongan (LoS) berhubung dengan terbitan bon bernilai AS$3 bilion dari 1MDB Global Investment Ltd.
Beliau berkata Low memberitahunya bahawa "bos akan redah, jangan bimbang" - yang bermaksud bahawa LoS bagi bon 1MDBGIL akan dipercepatkan - apabila dipersoalkan sekiranya terdapat masa yang mencukupi untuk mendapatkan surat itu.
Terbitan bon itu adalah susulan permeteraian perjanjian usaha sama 50:50 pada 12 Mac 2013, antara Aabar Investments PJS dan 1MDB untuk membentuk dana pemerolehan strategi bernilai RM6 bilion.
Wang AS$3 bilion yang diperoleh daripada terbitan bon itu akan mewakili 50 peratus saham 1MDB.
Cadangan usaha sama TRX sama dengan JV Petrosaudi 2009
3.50 petang - Semasa di bawah peperiksaan oleh Gopal Sri Ram, bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah bahawa dia melihat terdapat beberapa ciri persamaan antara usaha sama TRX yang dicadangkan oleh IPIC dengan perjanjian 1MDB dengan Petrosaudi pada tahun 2009.
Sri Ram: Adakah ia sama seperti usaha sama dengan PSI?
Shahrol: Ya. Cadangan JV PSI pada 2009 itu juga termasuk sebuah syarikat usaha sama di mana rakan usaha sama itu akan menyuntik aset dan wang tunai.
Sri Ram: Sama dengan cadangan ini?
Shahrol: Betul.
Sri Ram: Dan pada masa untuk menjayakan urus niaga ini, adakah ia pendek, panjang, atau sederhana?
Shahrol: Ia sangat pendek. Dan salah satu persamaan, surat Kumpulan IPIC Group (dihantar) kepada Najib.
Walau bagaimanapun, Shahrol berkata, bahawa usaha sama yang dicadangkan oleh IPIC untuk Aabar dan TRX tidak menjadi kenyataan.
Najib luluskan cadangan usaha sama Aabar -1MDB
3.40 petang - Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah bahawa pada 2012, IPIC telah membuat cadangan untuk usaha sama antara Aabar dan 1MDB untuk membangunkan Tun Razak Exchange (TRX).
Menurutnya, IPIC mencadangkan kerjasama lebih besar antara Aabar dan 1MDB yang membabitkan penyatuan aset hartanah antara Aabar dan TRX.
Ini akan membantu 1MDB untuk membiayai pembangunan infrastruktur TRX.
Shahrol memberi keterangan bahawa surat oleh IPIC mengenai perkara ini, bertarikh 6 Nov 2012, dihantar kepada 1MDB dan kemudian dibincangkan pada mesyuarat lembaga pengarah 1MDB pada Disember tahun itu.
Beliau berkata pengerusi lembaga pengarah 1MDB, Lodin Wok Kamaruddin, telah membentangkan surat itu dalam mesyuarat lembaga tersebut.
Shahrol berkata mereka yang hadir pada mesyuarat itu percaya bahawa Najib Razak mengetahui tentang kandungan surat daripada IPIC itu dan perdana menteri telah memberi kelulusan untuk usaha sama itu.
Peguam 1MDB Jasmine Loo bekerja rapat dengan Jho Low
3.10 petang - Peguam 1MDB Jasmine Loo bekerjasama rapat dengan Jho Low dalam melaksanakan mandat mengikut kehendak Najib Razak, kata Shahrol.
Dalam keterangannya, saksi itu berkata bahawa Loo telah bekerja di 1MDB selama sekurang-kurangnya setahun, jadi arahan untuk mengeluarkan mandat bagi menangani pelbagai urusan dibuat oleh Jho Low.
"Dalam fikiran saya, pada masa itu, ini hanya mengesahkan kepercayaan saya bahawa Jasmine (Loo) akan melaksana mengikut hasrat Najib (dan disampaikan oleh Jho Low)," kata Shahrol kepada ketua pendakawaan Gopal Sri Ram semasa pemeriksaan utama.
Jho Low kemudian mencadangkan kepada Goldman Sachs sebagai penasihat kewangan 1MDB.
3 petang - Mahkamah diberitahu bahawa ahli perniagaan kontroversial Low Taek Jho, atau Jho Low, mencadangkan untuk Goldman Sachs dilantik menjadi penasihat kewangan untuk 1MDB dan kumpulan syarikatnya pada tahun 2012.
Shahrol memberi keterangan bahawa cadangan itu dibuat oleh Low pada awal 2012.
Dalam keteranganya, saksi itu berkata, dia telah memaklumkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB semasa mesyuarat khasnya pada 21 Jun 2012, bahawa Goldman Sachs telah dipilih sebagai penasihat kumpulan berkenaan kerana pemahaman mendalam mereka mengenai struktur modal 1MDB.
Arahan Jho Low tidak pernah bercanggah dengan Najib - Shahrol
2.52 petang - Mahkamah diberitahu bahawa tidak ada satu contoh pun di mana arahan Jho Low kepada bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi ditolak atau bercanggah dengan keputusan bekas perdana menteri Najib Razak.
Shahrol berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh ketua pendakwaan Gopal Sri Ram.
Sri Ram: Kamu kata Low beritahu tertuduh bahawa kamu tahu mengenai perkara ini?
Shahrol: Ya.
Sri Ram: Adakah kamu mengesahkannya dengan tertuduh?
Shahrol: Tidak. Saya merasakan bahawa tidak perlu berbuat demikian kerana sejak tahun 2009, semua perkara dan arahan berkaitan dengan 1MDB yang telah disampaikan kepada saya oleh Low dari Najib telah terbukti konsisten dengan tindakan dan kelulusan seterusnya daripada Najib. Selain itu, tidak ada satu contoh pun di mana arahan Low (kepada Shahrol) diarah ditangguhkan atau dibantah oleh Najib.
Shahrol kemudian dalam membaca pernyataan saksinya berkata, bahawa dia percaya semua arahan oleh Low adalah daripada Najib sendiri dan perdana menteri itu tahu segala yang dilakukan oleh Low.
1MDB Energy bayar lebih AS$1.48b ke Genting, Aabar palsu pada Oktober 2012
2.45 petang - Mahkamah diberitahu bahawa akaun 1MDB Energy Ltd dengan Falcon Bank di Hong Kong menerima AS$1.64 bilion pada 19 Oktober 2012 sebagai sebahagian daripada bon AS$1.75 bilion yang diterbitkannya dengan tujuan untuk mengambilalih aset tenaga Genting.
Bekas CEO MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi mengesahkan bahawa pada hari yang sama, 1MDB Energy telah mengeluarkan sebanyak AS$692 juta untuk membayar Genting Power Holdings, dan AS$790 juta sebagai pembayaran kepada Aabar Investments PJS Limited.
Prosiding diteruskan
2.37 petang - Perbicaraan disambung semula dengan bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi meneruskan keterangannya sebagai saksi pendakwaan kesembilan.
Mahkamah berehat untuk makan tengahari
12.50 tengahari - Prosiding dihentikan untuk rehat makan tengahari dan akan bersambung semula pada jam 2.30 petang.
1MDB pinjam RM800 juta dari Affin bagi beli Mastika Lagenda
12.30 tengahari - Mahkamah dimaklumkan bahawa lembaga pengarah 1MDB pada Oktober 2012 meluluskan permohonan untuk membuat pinjaman RM800 juta daripada Affin Investment Bank dengan tujuan mengambilalih Mastika Lagenda.
Bekas CEO 1MDB itu, Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan bahawa kelulusan dibuat oleh lembaga melalui pekeliling pengarah bertarikh 9 Oktober 2012.
Beliau berkata proses pemerolehan IPP Genting Sanyen (M) Sdn Bhd melalui 100 peratus ekuiti Mastika Lagenda Sdn Bhd yang dinamakan projek Greyhound dilaksanakan selepas mendapat kelulusan daripada Najib Razak sebagai Menteri Kewangan yang mewakili Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), pada 2012.
Tindakan Najib 'selaras' dengan topik Jho Low - saksi
12.05 tengahari - Shahrol berkata, beliau percaya bahawa Najib Razak memberi Jho Low mandat untuk mengendalikan semua terbitan bon syarikat dan jaminan IPIC.
CEO 1MDB itu berkata demikian ketika pemeriksaan oleh ketua pendakwaan Gopal Sri Ram. Katanya keyakinannya itu adalah berdasarkan pemerhatiannya terhadap tindakan Najib, yang menurut Shahrol "selaras dengan sempurna" dengan topik perbincangan Low.
Gopal: Kamu kata kamu percaya bahawa Jho Low diberi mandat oleh Najib. Apakah alasan kamu mempunyai kepercayaan itu?
Shahrol Azral: Kerana pada waktu itu, saya telah memerhatikan tindakan dan topik perbincangan yang dimulakan dari Jho Low dipenuhi dengan tindakan Najib.
Gopal: Dalam kata lain, tindakan itu yang diambil oleh tertuduh sepadan dengan topik perbincangan yang dihantar kepada kamu oleh Jho Low?
Shahrol Azral: Tindakan sepadan dengan sempurna.
'Jho Low atur bayaran AS$577 juta untuk diselewengkan'
11.55 pagi - Ahli perniagaan yang menjadi buruan, Jho Low mengatur pembayaran deposit keselamatan berjumlah AS$576,943,490 kepada Aabar Investments PJS (Aabar) bagi pengambilalihan Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (TEHSB) bertujuan untuk diselewengkan.
Shahrol memberitahu mahkamah bahawa siasatan menunjukkan bahawa deposit keselamatan yang diaturkan oleh Jho Low sebenarnya disalurkan ke akaun yang dikawal olehnya.
"Namun saya ingin tegaskan bahawa saya langsung tidak tahu menahu bahawa lebihan wang untuk pembayaran deposit keselamatan berjumlah AS$576,943,490.00 kepada Aabar adalah untuk diseleweng.
"Ia dibuat secara niat baik berdasarkan dokumentasi yang disediakan oleh Jasmine Loo (peguam 1MDB), Terence Geh (pengarah 1MDB) dan Tim Leissner (Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Asia).
"Saya pasti tidak akan meluluskan kiriman wang tersebut sekiranya saya tahu bahawa ia adalah untuk diseleweng.
"Setelah penyiasatan dilakukan barulah saya tahu yang deposit keselamatan ini diaturkan oleh Jho Low untuk membolehkan wang 1MDB masuk ke dalam akaun yang dikawal olehnya untuk tujuan penyelewengan,” katanya.
Saksi cam Tarek Obaid, Rosmah dan anak-anaknya dalam foto
11.45 pagi - Perbicaraan bersambung selepas rehat seketika dengan ketua pendakwaan Gopal Sri Ram yang menunjukkan gambar kepada bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Saksi kemudian mengecam mereka yang dirakamkan dalam foto itu sebagai Najib Razak, Tarek Obaid, isteri Najib, Rosmah Mansor, dan anak-anak mereka, Norashman dan Nooryana Najwa.
Shahrol juga mengenal pasti foto Ahad Husseiny yang memeluk Najib
11.05 pagi - Ketua pendakwaan Gopal Sri Ram menunjukkan satu siri gambar kepada mahkamah dan kemudiannya menyoal saksi pendakwaan kesembilan itu sama ada dia mengenali mereka yang dirakamkan itu.
Shahrol, yang adalah bekas CEO 1MDB, kemudian mengecam mereka itu sebagai tertuduh Najib Razak, Jho Low, dan seorang lagi Husseiny (Mohammed Badawy al-Husseiny) yang menurut saksi sebelum ini berkaitan dengan Aabar.
Ia termasuk gambar di mana Husseiny memeluk Najib.
Gopal kemudian meminta Shahrol untuk melukiskan bulatan mereka yang dikenalinya dengan pen merah, dan menandakan mereka, masing-masing sebagai A, B dan C.
10.50am - Mahkamah diberitahu bahawa sekiranya urusan 1MDB tidak dibuat secara tergesa-gesa, persoalan akan timbul mengenai aspek-aspek Aabar Investment PJS Limited yang mencurigakan.
Bekas CEO firma pelaburan negara itu berkata, demikian ketika menerangkan mengenai perjanjian "Collaboration Agreement for Credit Enhancement" antara 1MDB Energy Limited dan Aabar Investment PJS Limited bertarikh 21 Mei 2012.
"Elemen kelajuan sentiasa ada apabila kita bergerak dengan cepat. Kami telah mempertanggungjawapkan kepada setiap pihak berhubung untuk berbuat demikian dan melakukannya demi kepentingan negara dan syarikat.
"Sekiranya mereka diberi lebih banyak masa, mungkin ada soalan yang dibangkitkan mengenai aspek mencurigakan syarikat (Aabar Investment PJS Limited (BVI))," kata Shahrol.
Aabar palsu guna alamat Aabar sebenar dalam perjanjian dengan 1MDB - saksi
10.49am - Syarikat Aabar palsu menggunakan alamat Aabar sebenar yang berpangkalan di Abu Dhabi ketika menandatangani "Collaboration Agreement for Credit Enhancement" dengan 1MDB pada tahun 2012, kata saksi.
Shahrol berkata beliau yakin menandatangani perjanjian itu pada 12 Mei 2012 kerana tidak banyak perbezaan nama syarikat berkenaan dan ia menggunakan alamat Aabar sebenar di Tingkat 187, Bangunan Kementerian Tenaga, Jalan Corniche, PO Bx 107888, Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.
"Saya pernah ke alamat ini untuk berurusan dengan IPIC dan Aabar sebenar. Jadi ia menggunakan alamat IPIC dan Aabar yang sah, manakala singkatan yang digunakan dalam perjanjian ini adalah 'Aabar Investments'.
"Justeru, saya tidak perasan sama sekali bahawa ia adalah syarikat yang berbeza iaitu Aabar Investments PJS Ltd (British Virgin Islands)."
Shahrol memberi keterangan bahawa dia hanya menyedari bahawa terdapat perbezaan antara Aabar sebenar dan Aabar palsu, di mana syarikat palsu itu mempunyai perkataan "Limited", apabila berita mengenai skandal 1MDB tersebar.
Bekas CEO tidak sedar alamat palsu Aabar semasa tandatangan perjanjian
10.45 pagi - Bekas CEO 1MDB memberitahu mahkamah bahawa firma pelaburan negara itu melalui anak syarikatnya 1MDB Energy Ltd telah memeterai "Perjanjian Opsyen" dengan Aabar Investments PJS Ltd pada 18 Mei 2012.
Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan bahawa beliau tidak mempunyai pengalaman dalam struktur kewangan seumpama itu, sebelum ini, dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada Goldman Sachs dan ahli lembaga lain untuk bantuan mereka mengenai perkara itu.
Katanya, faktor lain mengapa mereka menandatangani perjanjian itu adalah kerana, dengan perjanjian opsten itu, 1MDB akan mengunci Aabar sebagai pelabur dari Abu Dhabi.
Ini, kata Shahrol, akan memenuhi matlamat 1MDB untuk membawa pelaburan asing dalam sektor tenaga.
Bagaimanapun, menurut saksi, dia tidak menyedari bahawa alamat Aabar yang dirujuk dalam perjanjian itu adalah di Kepulauan Virgin British.
Untuk rekod, syarikat Aabar sebenar adalah di Abu Dhabi.
Apa berlaku dengan deposit keselamatan AS$577 juta? Saya tidak tahu, kata Shahrol
10.40 pagi - Bekas CEO 1MDB tidak tahu apa yang berlaku dengan wang AS$577 juta yang dibayar oleh firma pelaburan negara kepada Aabar Investments PJS Limited (BVI) sebagai deposit keselamatan bagi syarikat induk Aabar, International Petroleum Investment Company (IPIC) untuk mengeluarkan jaminan bagi bon yang diterbitkan.
Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata demikian ketika memberi keterangan semasa pemeriksaan utama oleh ketua pendakwaan, Gopal Sri Ram.
Shahrol: 1MDB terpaksa membayar deposit keselamatan berjumlah AS$577 juta.
Sri Ram: Adakah jumlah itu dibayar?
Shahrol: Ya.
Sri Ram: Kepada akaun mana?
Shahrol: Ia adalah akaun milik Aabar BVI.
Sri Ram: Adakah kamu tahu apa yang berlaku dengan wang itu?
Shahrol: Saya tidak tahu.
'Tanjong Energy sepatutnya bawa keuntungan'
10.35 pagi - Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah bahawa 1MDB sepatutnya membuat keuntungan daripada pengambilalihan Tanjong Energy Sdn Bhd (TEHSB) pada 2012 apabila syarikat itu sepatutnya disenaraikan di bursa saham.
Walau bagaimanapun, menurut ketua pegawai Eksekutif 1MDB itu, penyenaraian awam Tanjong Energy tidak pernah berlaku.
Shahrol, yang merupakan saksi pendakwaan kesembilan, memberi keterangan ketika di bawah pemeriksaan oleh ketua pendakwaan, Gopal Sri Ram.
Gopal: Pembelian TEHSB, adakah ini mendatangkan sebarang pendapatan kepada 1MDB?
Shahrol: Saya tidak ingat jika ada apa-apa wang tunai yang mengalir masuk selepas pengambilalihan itu. Tetapi sebahagian besar, keuntungan yang sepatutnya berlaku, sepatutnya datang apabila (kita) menyenaraikan entiti itu secara umum, yang tidak pernah berlaku.
Gopal: Jadi penyenaraian awam Tanjong tidak pernah berlaku.
Shahrol: Tidak pernah berlaku.
Jho Low beri tekanan, kata Shahrol Azral
10.25 pagi: 1MDB menyertai perjanjian kemudahan pinjaman bernilai RM6.17 bilion dengan dua bank pada Mei 2012 untuk memiliki Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd.
Shahrol Azral memberitahu mahkamah, perjanjian tersebut ditandatangani oleh anak syarikat 1MDB, 1MDB Energy Sdn Bhd, dengan Maybank Investment Bhd dan RHB Investment Bank Bhd pada 17 Mei.
Katanya, pinjaman berkenaan bagi membolehkan 1MDB memperolehi 100 peratus kepentingan dalam Tanjong Energy.
10.08 pagi: Jho Low memberi tekanan kepada 1MDB agar mempercepatkan pemilikan Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd dalam usaha segera "menandatangani perjanjian" dalam rundingan peringkat tinggi di antara Pejabat Perdana Menteri dan putera mahkota Abu Dhabi.
Semasa disoal Gopal, Shahrol Azral berkata hal itu melibatkan hubungan di antara kerajaan. Justeru katanya jadual dan garis masanya ditentukan oleh faktor luaran termasuk tekanan daripada Jho Low.
Najib luluskan pinjaman jangka pendek RM6.17 bilion
9.55 pagi: Shahrol Azral memberitahu mahkamah selepas 1MDB menerima jaminan kerajaan pada Mei 2009, ia tidak lagi boleh mendapat pinjaman tanpa kelulusan Menteri Kewangan.
Pada 2012, katanya, menteri kewangan ketika itu - Najib - mengeluarkan surat meluluskan pinjaman RM6.1 bilion serta AS$1.75 bilion nota 10 tahun untuk 1MDB mengambil alih Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd.
Katanya tanpa surat itu 1MDB tidak boleh meneruskan rancangannya.
Bagaimanapun, kata Shahrol, beliau tidak pasti sama ada kelulusan daripada Najib itu telah melalui proses yang sepatutnya.
“Ingin saya jelaskan selepas Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA)/1MDB menerima jaminan Kerajaan Persekutuan pada Mei 2009, 1MDB tertakluk kepada Akta Jaminan Pinjaman yang mana 1MDB tidak boleh membuat apa-apa pinjaman baru kecuali dengan kelulusan Menteri Kewangan Malaysia.
“Dalam penerbitan Bon 2012, saya mengesahkan bahawa 1MDB ada mendapat kelulusan bertulis dari menteri kewangan. Jasmine Loo yang terlibat dalam proses mendapatkan tandatangan Najib pada masa tersebut. Saya tidak terlibat dalam urusan dengan bahagian pinjaman Kementerian Kewangan untuk mendapatkan kelulusan tersebut.
“Saya tidak pasti sama ada terbitan bon ini ada melalui proses yang sepatutnya di kementerian kewangan atau tidak sehingga kelulusan diberikan oleh Najib atas kapasitinya sebagai menteri kewangan,” katanya.
9.30 pagi: Najib memasuki mahkamah diikuti saksi kira-kira 15 minit kemudian.