Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekalan air ke kawasan yang mengalami gangguan akibat kekurangan sumber disebabkan paras air di sungai, kolam takungan dan empangan merosot, kini pulih sepenuhnya.

Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) menerusi kenyataan hari ini bagaimanapun memberitahu terdapat bangunan tinggi serta pangsapuri yang masih mengalami gangguan kerana tekanan air rendah akibat ketiadaan pam air atau pam air tidak diselenggara dengan baik.

"Kesabaran dan kerjasama semua pengguna yang terjejas sepanjang pihak kami melaksanakan proses pemulihan bekalan air dengan pengepaman keluar air mentah dari kolam alternatif ke Sungai Melaka serta pengepaman air secara maksimum ketika paras air sungai tinggi akibat hujan lebat di kawasan hulu Sungai Melaka amat dihargai.

"SAMB merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak termasuk kerajaan negeri, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, operator air negeri lain dan semua pihak terlibat yang menghulur bantuan sepanjang usaha pemulihan bekalan air," menurut kenyataan itu.

Pada 26 Sept, SAMB memaklumkan pihaknya meluluskan bekalan air berjadual melibatkan 78,405 akaun pengguna di sekitar Bandar Melaka, bagaimanapun kerajaan negeri melalui SAMB menangguhkan pelaksanaannya berikutan paras air di sungai dan loji rawatan di negeri itu semakin pulih.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS