Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib pertahan Sultan Mizan tidak murka padanya
Diterbitkan:  Sep 29, 2019 11:55 PM
Dikemaskini: 3:55 PM

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak berkata Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, tidak murka kepadanya mengenai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang ditukar menjadi 1MDB pada tahun 2009.

Najib, dalam siaran Facebook, mendakwa laporan media mengenai perbicaraan rasuah 1MDBnya tidak tepat atau bersifat terpilih.

"Seperti apa yang peguam saya kata hari itu, sultan bukan murka dengan saya tetapi murka dengan pinjaman itu (Nota Jangka Sederhana Islam - IMTN)," katanya merujuk keterangan saksi bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam perbicaraan rasuahnya.

Beliau juga berkongsi petikan keterangan Shahrol yang beliau katakan tidak diserlahkan oleh media.

Antara petikan itu adalah testimoni Shahrol bahawa TIA difahami oleh Sultan Mizan dan ahli perniagaan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

"Semasa Tuanku Mizan (Yang di-Pertuan Agong pada masa itu) murka dan mahu menghentikan bon itu pada 22 Mei 2009, perjanjian bon sudah ditandatangan dan pihak bank kata ianya tidak boleh lagi boleh digantung.

"Di sini, saya juga nak terangkan sekali lagi bahawa ianya tidak benar bahawa saya pernah kata saya tak kenal Jho Low kerana dia sudahpun dilantik sebagai penasihat TIA oleh Yang di-Pertuan Agong masa itu dan saya sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri tentu perlu untuk berurusan dengan dia," kata Najib.

Shahrol (gambar atas, kanan) yang juga ketua pegawai eksekutif sebelum TIA menjadi 1MDB, telah memberi keterangan bahawa Low dan pengarah eksekutif pembangunan perniagaan syarikat, Casey Tang, yang juga rakan rapat Low, telah mengendalikan bon tersebut.

Shahrol berkata beliau menandatangani perjanjian bon berdasarkan kepercayaan bahawa Sultan Mizan dan Najib telah bersetuju dengannya. Sultan Mizan ialah pengerusi TIA ketika itu.

Bagaimanapun, Shahrol berkata beliau kemudian dipanggil ke istana Terengganu pada 22 Mei 2009 oleh Sultan Mizan yang murka.

Shahrol berkata selepas meninggalkan istana, beliau meminta penjelasan daripada Low yang meminta beliau bertemu di rumah Najib di Jalan Langgak Duta pada waktu malam.

"Apabila saya masuk sahaja ke rumah, saya dibawa terus ke ruang tamu oleh pembantu Datuk Seri Najib. Saya dapati Jho Low dan Datuk Seri Najib sudah sedia menunggu di situ.

"Semasa saya masuk, mereka seolah-olah sudah berbincang dan menunggu ketibaan saya.

"Jho Low terus meminta saya menjelaskan kepada Datuk Seri Najib apa sebenarnya yang berlaku. Saya menjelaskan bahawa DYMM Tuanku Mizan menitahkan bon digantung dan Ambank pula tidak membenarkan ia digantung disebabkan faktor perjanjian yang telah ditandatangani lebih awal sebelum titah DYMM Tuanku Mizan.

"Datuk Seri Najib bertanya kepada saya sama ada saya tahu kenapa DYMM Tuanku murka. Saya telah menjawab tidak tahu... 

"Kemudian beliau telah memberitahu dalam ayat lebih kurang seperti berikut: “You go ahead, I will talk to Tuanku”.

"Saya menerima ia sebagai arahan dan mandat daripada perdana menteri merangkap menteri kewangan untuk meneruskan IMTN kerana beliau adalah merupakan menteri yang bertanggungjawab memberikan jaminan kerajaan tersebut," katanya.

Susulan itu, kerajaan persekutuan mengambil alih TIA dan menjadikannya syarikat 1MDB, yang kini menjadi kes siasatan antarabangsa mengenai dakwaan pengubahan wang haram dan melesapkan dana.

Najib berkata kerajaannya pada ketika itu memilih TIA untuk kekal dengan Terengganu tetapi kerajaan Terengganu tidak mahukan perkara ini.

Menurut fakta perbicaraan kes itu, hasil IMTN kemudiannya disuntik masuk ke dalam usahasama 1MDB dengan PetroSaudi International Ltd, yang mana paling kurang sejumlah AS$ 1.83 bilion kemudiannya telah diselewengkan.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS