Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Air Selangor: Bekalan air akan pulih berperingkat
Diterbitkan:  Sep 29, 2019 11:48 AM
Dikemaskini: 3:48 AM

Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih kembali beroperasi awal pagi ini dan bekalan air di kawasan terjejas akan pulih secara berperingkat, kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Air Selangor Abdul Raof Ahmad berkata, proses penyaluran ke sistem agihan dan kolam perkhidmatan di kawasan terjejas kini sedang berlangsung sebelum bekalan dapat disalurkan bagi proses pemulihan berperingkat.

"LRA Sungai Semenyih yang dihenti tugas ekoran pencemaran bau di sumber air mentah kembali beroperasi sepenuhnya pada jam 6.30 pagi ini, setelah dihenti tugas selama 13 jam 30 minit dengan pengurangan pengeluaran air terawat sejumlah 357 juta liter sehari.

"Bantuan lori tangki air digerakkan dan sepuluh pusat khidmat setempat diaktifkan bermula lapan pagi hari ini, bagi menyalurkan bantuan kepada pelanggan yang terjejas hingga bekalah pulih sepenuhnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam dilaporkan kira-kira 372,031 pengguna di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas selepas LRA Sungai Semenyih yang terpaksa dihentikan.

Insiden sama pernah berlaku pada Jun lalu juga ekoran pencemaran bau.

Pada Julai pula, LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, SSP2 dan SSP3) serta LRA Rantau Panjang turut dihentikan operasi sementara susulan pencemaran diesel di sumber air mentah Sungai Selangor.

'Perlu jawapan telus'

Dalam pada itu, Adun Subang Jaya Michelle Ng dan Adun Banting Lau Weng San dalam kenyataan bersama meyifatkan gangguan terbaru ini sebagai "tidak boleh diterima".

Mereka menggesa kerajaan, peguam negara dan pihak berkuasa terbabit agar memberikan "jawapan yang telus" berkenaan perkara itu.

"Subang Jaya terjejas sebanyak lima kali dalam masa 12 bulan ini, tiga daripadanya akibat pencemaran. Banting terjejas dua kali tahun ini.

"Justeru kami menggesa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Selangor (SPAN), Lembaga Urus Air Selangor, Peguam Negara Tommy Thomas dan/atau pihak berkuasa bertanggungjawab agar memberi jawapan kepada persoalan ini:

"Apa tindakan yang diambil kepada pihak yang menyebabkan pencemaran sebelum ini? Apa sebenarnya proses audit dan pematauan untuk kegiatan hiliran di loji rawatan air? Adakah proses ini disemak semula selepas setiap pencemaran?" soal mereka.

Mereka berkata akan "menggunakan proses legislatif negeri yang ada" pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang jika maklum balas pihak berkuasa tidak memuaskan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS