Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Selepas hampir sebulan pendedahan mengenai hutang akhbar Harakah kepada syarikat pencetak, pengurusan lidah rasmi PAS itu sedang berusaha untuk membuat pembayaran.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mereka memerlukan masa untuk menyelesaikan hutang berjumlah lebih RM3 juta itu.

"Kita urus, Insha-Allah kita dalam proses. (Hutang) bagi melibatkan syarikat yang diisytihar bankrap oleh mahkamah prosedurnya lain.

"Bagi kita, kita akan urus dan ambil tanggungjawab," katanya kepada Malaysiakini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Ceramah Perdana Hijratul Rasul dan Penyatuan Ummah di Pasir Mas, Kelantan semalam.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan satu notis tunggakan hutang Harakah tersebar di media sosial.

Kandungan notis itu memaparkan hutang cetakan Harakah, cetakan buku dan cetakan Siasah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3,053,204.59.

Notis makluman mengenai penyata akaun itu ditandatangi Pengurus NAJ Press Resourses (M) Sdn Bhd (NAJ Press).

Sementara itu Tuan Ibrahim yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian menegaskan, usaha ke arah menyelesaikan tunggakan hutang sudah diambil.

"Ya kita perlukan masa, dan sebenarnya kita sudah berusaha ke arah itu (penyelesaian)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS