Majlis persaraan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Rinching di Semenyih, Selangor menjadi luar biasa apabila disambut dengan sebuah helikopter selepas tamatnya majlis pada Rabu lalu.
Saliha Mansor, 60 berkata kesungguhan setiap guru merancang majlis sehingga tamat tidak dapat dilupakan.
"Perasaan sangat terharu sebab seumur hidup saya sebagai guru tak pernah kena sambut seperti itu.
“Berbeza dengan pengetua lelaki dan perempuan macam saya tidak sangka mereka nak buat majlis seperti ini sampai helikopter datang sambut saya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Saliha berkata majlis yang bertemakan tradisional dan berkonsepkan pementasan teater sebuah kerajaan membuat beliau tertarik dan kagum.
“Saya paling suka bila pementasan teater mula dengan tema tradisonal membuatkan orang dewan tengok teruja termasuk saya sendiri.
“Ada nyanyian, tarian semua itu memberi pelbagai emosi positif terhadap saya,” katanya.
Selesai tamat pementasan majlis itu, Saliha diarak terus ke padang untuk dibawa bersama helikopter.
“Saya dan suami saya dijemput masuk ke dalam dengan muatan hanya empat orang termasuk pemandu khas dan guru penolong kanan saya.
“Mereka membuat pusingan sebanyak tiga kali dan selamat mendarat di SMK Kajang Utama di padang mereka serta disambut dengan guru sekolah tersebut,” katanya.
Saliha juga berkata pengurusan helikopter bukanlah mudah dengan kos kewangan yang tinggi.
“Saya pun dah beritahu mereka jika nak buat majlis saya tidak perlulah mahal sehingga menghabiskan duit untuk majlis ini.
“Tapi bila saya tanya ada tunggakan atau tak mereka kata dah selesai segalanya,” katanya.
Beliau mula bertugas sebagai guru pada 1984 selepas selesai menghabiskan Diploma Pendidikan di Univerisiti Malaya dan berkhidmat selama 35 tahun.
Saliha yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Geografi dilantik menjadi pengetua sekolah pada 16 Jun 2014.
Difahamkan tarikh bersaranya pada 29 Disember tetapi diawalkan kerana risau majlis tersebut akan mengganggu persiapan tahun baru sekolah, justeru beliau mencadangkan majlis persaraannya pada 25 September lalu.