Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Demonstrasi Indonesia catat 2 korban
Diterbitkan:  Sep 27, 2019 8:51 PM
Dikemaskini: 12:51 PM

GLOBAL | Dua mahasiswa Universiti Halu Oleo di Kendari, Sulawesi Tenggara terkorban dalam siri demonstrasi di bandar-bandar utama di Indonesia yang tercetus sejak 24 September lalu.

Randi (21) dan Yusuf Qardawi (19), terkorban ketika berdemonstrasi di bandar Kendari yang turut menyaksikan dewan perwakilan rakyat daerah itu dibakar.

Kematian kedua-dua mahasiswa itu merupakan yang pertama seumpamanya sejak siri demonstrasi itu berlangsung.

Channel News Asia melaporkan, salah seorang mahasiswa, Randi, dikejarkan ke hospital susulan kecederaan di dada sebelum meninggal dunia.

Polis sebelum ini menafikan bertanggungjawab atas kematian mahasiswa berkenaan, dengan berkata bahawa tiada anggota polis yang membawa peluru hidup atau peluru getah.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, Tempo hari ini melaporkan bahawa hasil bedah siasat mengesahkan Randi terkorban akibat "peluru tajam".

Ketua Polis Daerah Sulawesi Tenggara Brigjen Iriyanto mengesahkan kematian Randi karena terkena peluru tajam, namun belum dapat dipastikan sama ada tembakan dilepaskan oleh polis.

Korban kedua, Yusof pula dilapor terkorban akibat pendarahan selepas objek yang dipercayai peluru tembus di bagian kiri kepalanya.

Terdahulu, NGO hak asasi manusia Amnesty International menyelar pihak polis Indonesia dan mendakwa mereka menyalahgunakan kuasa dalam usaha meleraikan demonstrasi.

Siri demonstrasi di bandar-bandar utama di Indonesia berlangsung melibatkan penyertaan ribuan pelajar dan mahasiswa yang turun ke jalan membantah Rancangan Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (RKUHP) atau kod jenayah baru dan Rancangan Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (RKUHP) yang didakwa akan melemahkan agensi antirasuah di negara itu.

Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi Jumaat lalu menangguhkan undian Parlimen terhadap undang-undang jenayah baru itu dan berkata ia perlu dibincangkan Parlimen bulan depan.

Sementara itu, bekas pencabar kerusi presiden, Prabowo Subianto menyatakan sokongan terhadap demonstrasi berkenaan.

Berucap dalam satu program di Bogor hari ini, media negara berkenaan melaporkan Prabowo yang juga Ketua Umum Parti Gerindra sebagai berkata: ""Kalau negara tak berhasil melindungi rakyatnya, dan negara tidak berhasil sejahterakan rakyat, apa risikonya yang harus diambil?

"Bahwa negara itu gagal. Kalau semua saluran politik, semua saluran keadilan, semua saluran tempat rakyat kecil boleh menyuarakan kecemasannya, boleh mendapat perlindungan, kalau semua saluran itu tidak berfungsi, apakah kita salahkan anak-anak kita turun-turun ke jalan?".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS