Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PSI mohon hantar 'swift clarification' tukar maklumat benefisiari
Diterbitkan:  Sep 26, 2019 5:23 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

KES 1MDB NAJIB l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PetroSaudi International Ltd (PSI) Tarek Obid memohon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menghantar 'swift clarification' bagi menukarkan maklumat terperinci benefisiari dari PSI kepada nombor akaun.

CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, yang mendedahkan perkara itu berkata 1MDB menerima surat bertajuk 'Request for swift clarification to be sent from sending bank to receipent bank to confirm beneficiary details being account number 11116073.2000 and not Petrosaudi International Limited” bertarikh 25 Mei, 2011.

Katanya, susulan itu, Ketua Pegawai Kewangan (CFO, 1MDB) Radhi Mohamed telah menghantar surat kepada AmIslamic Bank Berhad berkenaan hal itu pada 26 Mei, 2011.

"Ini adalah surat daripada 1MDB kepada AmIslamic Bank Berhad berkenaan SWIFT Clarification On USD Remittance bertarikh 26 Mei 2011. Surat ini dihantar oleh Radhi untuk perhatian pegawai bank Joanna Yu Ging Ping.

"Surat itu menyatakan bahawa 'Our beneficiary PetroSaudi International Limited had kindly requested that the sending bank send a SWIFT Clarification to the recipient bank to confirm that the fund were wired to the correct account number details but with the beneficiary details being account no 11116073.2000 and not PetroSaudi International Limited.

“Please refer to the attached letter from PetroSaudi International Limited/ 1MDB-PetroSaudi Limited and effect the SWIFT clarification as soon as possible," katanya.

Sementara itu, ketika dirujuk kepada 'Letter of Instruction (FX Deal) daripada 1MDB kepada Deutsche Bank berkenaan remittance of US$110 million bertarikh 27 Mei, saksi berkata surat itu adalah pemberitahuan kepada AmIslamic Bank Berhad berkaitan arahan pemindahan wang ke akaun bernombor 11116073.2000 berjumlah AS$110,000,000 dan benefisiari bagi akaun itu adalah akaun nombor 11116073.2000.

"Saya mendapat arahan daripada Tarek Obaid untuk memindahkan wang ke akaun bernombor 11116073.2000 berdasarkan surat dari Tarek Obaid bertarikh 12 Mei, 2011 yang menyatakan nombor akaun itu.

"Arahan untuk menggunakan benefisiari nama akaun nombor 11116073.2000 adalah berdasarkan surat dari Tarek Obaid bertarikh 25 Mei, 2011," katanya.

Terdahulu, saksi juga mengesahkan surat kepada 1MDB-PetroSaudi Limited daripada 1MDB berkenaan 'schedule 5-additional tranche confirmation notice' bertarikh 27 Mei, 2011.

"Notis ini adalah daripada 1MDB kepada PSI bertujuan untuk menyatakan bahawa pihak 1MDB hanya mampu memberikan AS$205,000,000 berbanding dengan amaun yang diminta iaitu AS$330,000,000," katanya.

Saksi juga mengesahkan surat yang sama tetapi bertarikh 25 Okt, 2011, di mana 1MDB menyatakan bahawa pihaknya akan menambah amaun pinjaman kepada 1MDB-PetroSaudi Limited sebanyak AS$125,000,000.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah sedang berlangsung.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS