Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PSI mohon suntikan dana tambahan AS$750 juta dari 1MDB
Diterbitkan:  Sep 26, 2019 12:42 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

KES 1MDB NAJIB l Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu PetroSaudi International Limited (PSI) menerusi wakilnya, Patrick Mahony memohon secara lisan melalui ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low untuk 'draw down' daripada 1MDB sebanyak AS$750 juta bertujuan bagi menyuntik dana tambahan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya berkata pihaknya bagaimanapun melalui rundingan telah memohon untuk mengurangkan jumlah yang diminta.

"Saya meminta permohonan rasmi dibuat selepas dimaklumkan oleh Jho Low mengenai perkara itu.

"Pada masa itu, saya membuat 'push back' dengan Jho Low kerana pada pendapat saya, 1MDB tidak sepatutnya memberi lagi banyak pinjaman kepada PSI kerana wang 1MDB lebih patut digunakan untuk projek-projek tempatan," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Gopal Sri Ram pada perbicaraan hari ke-14 kes Najib Razak membabitkan dana 1MDB.

Shahrol Azral berkata, beliau meminta Jho Low membuat rundingan dan perbincangan dengan Najib dan PSI untuk mengurangkan jumlah pinjaman yang perlu diberi kepada PSI.

“Saya tidak terlibat langsung dalam apa-apa perbincangan mengenai pinjaman AS$750 juta itu.

"Saya juga tidak tahu butiran rundingan seperti siapa dan di mana yang akhirnya telah mengurangkan jumlah pinjaman kepada AS$330 juta,” katanya.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, pada masa sama tanpa pengetahuannya, Tarek Obaid dari PSI telah menulis surat kepada Najib pada 18 Feb, 2011 berhubung permintaan tambahan pinjaman AS$750 terbabit.

“Surat ini dilampirkan bersama surat dari Putera Turki kepada Najib pada tarikh yang sama (18 Feb, 2011).

"Surat ini hanya dipanjangkan kepada Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin (Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB) pada 11 Mac, 2011, dengan nota bertulis daripada Najib menyatakan Najib tiada halangan untuk penambahan pelaburan ini.

Ketika dirujuk surat berkenaan oleh Sri Ram untuk pengesahan, Shahrol Azral, yang juga saksi penting pendakwaan turut mengesahkan tulisan tangan Najib iaitu ‘Yang Berbahagia Sri Lodin, saya tidak ada halangan berhubung pinjaman tambahan ini. Sila ambil tindakan’.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS