Paling Popular
Terkini

Belum ada kata putus mengenai nasib bangunan pawagam Odeon di tengah Kuala Lumpur yang diberitakan bakal menyembah bumi tidak lama lagi.

Menurut jurucakap syarikat Titijaya Land Bhd (Titijaya) yang menjadi pemaju di situ, projek pembangunan berkenaan masih di peringkat perancangan.

Bercakap kepada Malaysiakini, dia yang enggan didedahkan identitinya berkata maklumat mengenai cadangan merobohkan bangunan Odean itu tidak tepat.

"Projek Odeon itu adalah salah satu projek kami yang akan datang.

"Maksud saya, projek akan datang yang masih dalam peringkat perancangan.

“Kami masih belum memuktamadkan komponen pembangunan yang terlibat dan ia akan diukur berdasarkan perancangan lama dan akan dikaji semula," katanya.

Panggung yang terletak di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Dang Wangi mula dibuka pada 1936 sebelum menutup operasi secara kekal 79 tahun kemudian.

Ketika ini ia menjadi premis kedai barangan sukan, restoran dan kedai pakaian.

Tunggu keluar arahan

Utusan Malaysia pada 9 Sept melaporkan bangunan pawagam Odean lama yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur itu bakal dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pembinaan apartmen.

Menurut jurucakap Titijaya maklumat yang dipaparkan media sebelum ini adalah tidak tepat.

“Jabatan projek kami juga masih mengembangkan perancangan itu," katanya.

Dia juga memberitahu, iklan di laman sesawang mereka yang memaparkan tentang projek Odeon itu hanya berfungsi sebagai ruang prapendaftaran dan pertanyaan buat sesiapa yang berminat.

Mengenai laporan Odeon akan dirobohkan, jurucakap itu berkata, ia mungkin disebabkan maklumat awal yang tersebar beberapa tahun lalu dan mereka menerima banyak pertanyaan tentang projek berkenaan.

“Sebab itulah kami meletakkannya di laman sesawang," katanya.

Pada masa sama dia turut menjelaskan projek Odean tidak akan dilancarkan dalam tahun kewangan berakhir tahun ini, malah tiada arahan yang diterima daripada pihak atasan untuk merobohkan bangunan tersebut.

Sementara itu The Star Online semalam bagaimanapun melaporkan pada asasnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bersetuju agar projek tersebut dijalankan dan kini dalam proses untuk mengeluarkan perintah pembangunan (development order).

Laporan itu juga menyebut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan, menjelaskan sebahagian daripada bangunan Odeon itu akan dimasukkan ke reka bentuk bangunan yang dibina nanti.

Sementara itu Presiden Badan Warisan Malaysia, Elizabeth Cardosa, dalam satu kenyataan turut berpendapat bangunan baru itu nanti perlu mengekalkan ciri dan karakter yang terdapat pada bangunan itu.

“Setiap pembangunan baru yang dilakukan perlu mengekalkan nilai-nilai warisannya. Dan dalam kes ini, warisan arkitekturnya,” katanya.

Kalau pun ada keperluan untuk merobohkan bangunan itu dan membangunkannya kerana faktor telah usang, sifat dan karakter bangunan lama itu perlu diterjemahkan ke dalam reka bentuk bangunan baru untuk mengingatkan kita semua tentang apa yang ada di situ sebelum ini,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS