Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Taman Negara Tanjung Piai perlu peruntukan RM5 juta

Taman Negara Johor Tanjung Piai di Pontian, mengharapkan peruntukan RM5 juta dalam Belanjawan 2020 bagi membina semula dataran dan laluan pengunjung terutama dengan bertambahnya pengunjung saban tahun, ke penghujung benua asia itu.

Pengarah Perbadanan Taman Negara (Johor), Hanis Musalman Salehan berkata, dataran lama terpaksa diruntuhkan dua tahun lepas (2017) disebabkan faktor keselamatan selepas terjadi hakisan tanah dan mendapan di kawasan berkenaan.

“Hari ini, laluan pengunjung kita di mercu tanda kita (berbentuk globe) hanya dapat dikunjungi kira-kira 20 hingga 30 pengunjung dalam satu masa.

“Bagaimanapun, dengan adanya dataran baru itu, lebih 300 pengunjung boleh berada di kawasan mercu tanda dalam satu masa,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui di Taman Negara Johor Tanjung Piai di Pontian, hari ini.

Hanis berkata demikian ketika ditanya mengenai harapan perbadanan itu menjelang perbentangan Belanjawan 2020 di Parlimen pada 11 Okt ini.

Belanjawan 2020 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Hanis berkata, buat masa ini, kos operasi dan penyelenggaraan untuk Taman Negara Tanjung Piai sahaja melibatkan kos RM4 juta, katanya.

Setiap tahun, perbadanan menerima RM7 juta daripada Kerajaan Negeri untuk menjaga enam taman negara di negeri ini.

“Harapan kita agar Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan beri perhatian kepada Taman Negara Tanjung Piai memandangkan kawasan ini menjadi perhatian dunia,” kata beliau.

Selain Taman Negara Tanjung Piai, perbadanan itu turut mengawal selia lima taman negara iaitu Taman Negara Johor Endau-Rompin (PETA), Taman Negara Johor Endau-Rompin (SELAI), Taman Negara Johor Gunung Ledang, Taman Negara Johor Pulau Kukup dan Taman Laut Sultan Iskandar.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS