Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khaled cadang calon Muafakat Nasional tandingi Tg Piai
Diterbitkan:  Sep 24, 2019 5:40 PM
Dikemaskini: 9:42 AM

Naib Presiden Umno Khaled Nordin menyarankan calon parti-parti dalam kerjasama Muafakat Nasional bertanding pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai yang akan datang.

"Calon yang mewakili semua Umno, MCA, PAS, MIC dan sesiapa juga yang bernaung di bawah lembayung Muafakat Nasional. Calon ‘semua untuk semua’," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Ia susulan PAS dan Umno memeterai piagam kerjasama, yang dinamakan Piagam Muafakat Nasional, di Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada 14 September lalu.

Melalui kerjasama ini difahamkan PAS akan membawa Gagasan Sejahtera yang dianggotainya manakala Umno akan membawa BN ke dalam kerjasama strategik dalam menghadapi pilihan raya.

Menjelaskan mengenai ciri-ciri calon yang sesuai bertanding di kerusi parlimen ini, Khaled berkata kerjasama "Muafakat Nasional mesti bersedia untuk melakukan anjakan drastik" dengan nilai-nilai baru.

"Nilai yang mendahulukan perwakilan terbaik di parlimen, bukan parti terkuat, atau bangsa terbesar, atau persefahaman politik yang lapuk.

"Jika tidak, Muafakat Nasional dan rakannya Barisan Nasional akan terus terbelenggu dengan formula politik yang tidak lagi realistik seperti Pakatan Harapan," katanya lagi.

Kerusi parlimen di Johor itu menjadi kosong susulan penyandangnya daripada Bersatu, bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Farid Md Rafik meninggal dunia pada Sabtu lalu.

Tanjung Piai secara tradisinya ditandingi MCA. 

Pada PRU14, Farid menumbangkan penyandang selama dua penggal di kerusi berkenaan, iaitu Wee Jeck Seng daripada MCA dengan majoriti tipis 524 undi manakala calon PAS Nordin Othman pula mendapat 2,962 undi.

Bagaimanapun, Khaled menyifatkan pihak yang mengandaikan calon MCA yang bakal bertanding pada PRK Tanjung Piai sebagai "masih terperangkap dalam paradigma ‘pemikiran politik’ sempit."

"Memberitahu Umno dan PAS bahawa oleh kerana kami telah mengetengahkan agenda Muafakat Nasional, maka kami harus memberikan laluan kepada MCA untuk membuktikan kami mendukung politik multicultural adalah sangat dangkal.

"Anda masih tidak boleh keluar dari pemikiran politik dari lensa kaum yang sempit. Bahawa kawasan tertentu mesti diwakili oleh kaum tertentu dan parti tertentu," jelasnya lagi.

Beri ruang tempoh berduka

Naib presiden Umno itu juga menggesa Muafakat Nasional "mematikan paradigma cetek dan kolot ini" dan berharap Tanjung Piai menjadi "pertembungan ‘politik sederhana dan pertengahan’ yang sihat."

Dalam pada itu, Khaled juga menasihatkan penganalisis politik dan parti politik supaya tidak begitu ghairah dengan pelbagai ramalan mengenai pilihan raya kecil itu.

"Kita seolah-olah lupa bahawa ada isteri, anak-anak, ibu ayah dan keluarga yang baru sahaja kehilangan orang yang mereka cintai.

"Politik tidak boleh mengatasi kemanusian kita. Dan politik mesti dipandu oleh nilai dan sentuhan manusiawinya.

"Lalu tundalah dulu segala analisis anda, komen anda dan apa jua pandangan politik anda dan beri ruang untuk tempoh duka itu sedikit berlalu," jelasnya lagi.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS