KES 1MDB NAJIB l Pasukan pembelaan Najib Razak menggesa supaya ahli perniagaan dalam buruan yang dikaitkan 1MDB Low Taek Jho atau Jho Low dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah berkata Jho Low hendaklah dibawa segera supaya mahkamah dapat menentukan kebenaran di sebalik kes bekas perdana menteri itu.
“Kira-kira sebulan dahulu Ketua Polis Negara mengatakan bahawa mereka (polis) telah mendapat Jho Low dan mereka tahu di mana keberadaan beliau.
“Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri berkata mereka mesti mendapatkan Jho Low.
“Saya ingin agar Jho Low dibawa secepat mungkin agar kita dapat menentukan kebenaran,” katanya.
Muhammad Shafee yang mengetuai barisan peguam Najib berkata demikian dalam hujahnya dalam permohonan khabar angin terhadap keterangan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Shahrol Azral, 49, ketika memberi keterangan semalam sebagai saksi pendakwaan kesembilan dalam perbicaan Najib yang membabitkan penyalahgunaan RM2.3 bilion dalam dana 1MDB telah menggambarkan hubungan erat antara bekas perdana menteri itu dengan Jho Low.
Tentang ini, Muhammad Shafee berkata itu cuma ’khabar angin’ tiada sesiapa yang dapat membuktikan apa yang diperkatakan oleh saksi tanpa keberadaan Jho Low.
Saya kemukakan bahawa keterangan khabar angin tidak boleh diterima melainkan Jho Law dibawa ke mahkamah.
“Keadilan semula jadi akan tersingkir kerana saya tidak berpeluang untuk menyoal balas Jho Low,” kata Muhammad Shafee.
Beliau menambah bahawa apa juga yang saksi dengar daripada Jho Low mungkin tidak benar kerana saksi kelapan Amhari Efendi Nazaruddin yang merupakan bekas pegawai khas Najib dalam keterangannya telah melabelkan Jho Low sebagai ‘pakar pemanipulasi’.
“"Mengapa kita mesti menerima kata-kata beliau (Jho Low) apabila dia memanipulasi keseluruhan TIA, 1MDB dan PM (Perdana Menteri) itu sendiri," katanya.
Ketika menyanggah keterangan peguam pembelaan, ketua pendakwa raya, Gopal Sri Ram berkata pihak pendakwaan berhak menunjukkan bahawa Najib tidak dan tidak boleh dikelirukan oleh Jho Low.
Dia mengimbas kembali keterangan Amhari bahawa Najib tidak membuat sebarang tindak balas yang buruk atau terkejut apabila dimaklumkan tentang arahan Jho Low menerusi draf surat.
“Ini merupakan tingkah laku yang menggambarkan apa yang diucapkan oleh Jho Low,” katanya.
Sri Ram juga berkata kes-kes yang dijadikan alasan oleh pihak pembela dalam permohonan mereka tidak boleh dipakai dalam corak fakta kes semasa yang beliau nyatakan sebagai unik.
Beliau berkata ini kerana tertuduh bukan orang biasa tetapi Perdana Menteri dan orang yang paling berkuasa di negara ini (ketika dakwaan kesalahan itu dilakukan).
"Atas sebab itu, kami dengan hormatnya tidak membantah apa yang Shahrol Azral katakan, apa yang dikatakan Amhari, bagaimana mereka bertindak atas kenyataan Jho Low, bagaimana mereka mengesahkan dengan tertuduh dan keadaan tertuduh dan Jho Low semuanya adalah relevan," katanya dan menambah ia adalah keterangan mengikut keadaan.
Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menangguhkan penghakimannya.
Perbicaraan disambung dengan Shahrol Azral memberi keterangan.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan empat kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, dan untuk 21 lagi pertuduhan antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama.
- Bernama