Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bon TIA: Agong titah gantung, Najib kata teruskan, kata saksi
Diterbitkan:  Sep 24, 2019 4:53 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

KES 1MDB NAJIB l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Najib Razak mengarahkan untuk meneruskan pinjaman bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) yang dimohon oleh Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) berjumlah RM5 billion walaupun Sultan Mizan Zainal Abidin yang merupakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika itu menitahkan pinjaman IMTN digantung dan ditangguhkan dahulu.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB dan TIA, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata setelah menandatangani resolusi yang dikemukakan Sultan Mizan untuk menggantungkan IMTN dan terbitan IMTN ditangguhkan.

Saksi kemudian berjumpa Najib di rumahnya di Jalan Langgak Duta, di Kuala Lumpur, pada 22 Mei 2009, pada pukul 8 malam bagi memaklumkan perkara itu.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi

"Setelah menandatangani resolusi itu di Istana Terengganu pada hari yang sama iaitu pada 22 Mei 2009, saya menelefon Jho Low (penasihat TIA) dan memaklumkan apa yang berlaku....

“Dia terkejut dan meminta masa untuk menyelesaikan masalah tersebut dan memaklumkan akan menghubungi saya semula. Selepas beberapa ketika, Jho Low ada menghubungi saya semula dan meminta saya pergi ke rumah bekas perdana menteri itu.

"Dalam masa yang sama, saya ada menghubungi Casey Tang (pengarah eksekutif 1MDB) dan memaklumkan status tersebut dan meminta beliau berbincang dengan Ambank sekiranya memerlukan IMTN digantung.

"Casey memaklumkan ia tidak boleh digantung kerana perjanjian telah dimeterai dan pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu juga memaklumkan sebahagian bon itu telah dibeli semasa book building exercise (tempah). Ia dikira melanggar perjanjian yang sudah dimeterai," katanya.

Joanna Yu

Ketika sampai di rumah Najib, saksi berkata beliau mendapati Jho Low dan Najib sudah sedia menunggu di ruang tamu dan mereka berkelihatan seolah-olah sudah berbincang dan menunggu ketibaanya.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, beliau menjelaskan kepada Najib bahawa Sultan Mizan menitahkan bon digantung dan Ambank pula tidak membenarkan ia digantung disebabkan faktor perjanjian yang telah ditandatangani lebih awal sebelum titah Sultan Mizan.

"Jho Low memaklumkan bahawa disebabkan IMTN dijamin Kerajaan Persekutuan, maka pengantungan di peringkat akhir ini akan menyebabkan kehilangan keyakinan pelabur terhadap bon-bon kerajaan Malaysia. Najib bertanya kepada saya sama ada saya tahu kenapa DYMM Tuanku murka dan saya telah menjawab saya tidak tahu.

"Beliau (Najib) bertanya balik adakah saya diberikan sesalinan resolusi tersebut dan saya memberitahu tidak mendapat. Kemudian beliau telah memberitahu dalam ayat lebih kurang seperti berikut: You go ahead, I will talk to Tuanku.

Najib Razak

"Saya menerima ia sebagai arahan dan mandat daripada perdana menteri merangkap menteri kewangan untuk meneruskan IMTN kerana beliau merupakan menteri yang bertanggungjawab memberikan Jaminan Kerajaan tersebut. Jho Low juga mendengar arahan itu, kemudian saya terus pulang manakala Jho Low masih lagi tinggal di rumah Najib," katanya.

Ketika menjelaskan mengenai penerbitan IMTN, saksi berkata Jho Low dan Casey telah berurusan terus dengan AmInvestment Bank sebagai 'Lead Arranger' dan juga beberapa perunding yang dilantik untuk memuktamadkan perjanjian IMTN ini.

"Mereka berdualah yang meneliti dan menyemak kesemua butiran dalam perjanjian-perjanjian tersebut. Saya tidak terlibat di peringkat ini kerana ini merupakan bidang dan kepakaran mereka berdua.

"Setelah perjanjian-perjanjian ini siap, Casey dan pihak AmInvesment Bank telah membawa perjanjian tersebut kepada saya untuk ditandatangani. Saya mempercayai bahawa kesemua butiran dalam perjanjian ini telah dipersetujui oleh semua pihak termasuk stakeholders (DYMM Tuanku Mizan dan Najib) kerana ia telah diteliti dan disemak oleh Jho Low dan Casey Tang," katanya.

Katanya, beliau menurunkan tandatangan terhadap dokumen-dokumen perjanjian tersebut berdasarkan resolusi kelulusan penurunan kuasa kepadanya oleh Ahli Lembaga Pengarah (BOD) TIA.

Beliau juga berkata, Sultan Mizan juga menitahkan BOD TIA untuk melantik adinda Baginda iaitu YAM Tengku Datuk Rahimah Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah untuk menjadi salah seorang pengarah TIA bagi mewakili kepentingan negeri Terengganu.

"Ia bertujuan untuk memastikan perjanjian IMTN ini tidak membelakangkan kepentingan negeri Terengganu kerana tujuan asal penubuhan TIA adalah untuk dana kekayaan berdaulat Terengganu," katanya.

Terhadap soalan tambahan oleh Sri Ram bagaimana saksi tahu bahawa Jho Low dan tertuduh telah berbincang ketika dia memasuki rumah tertuduh, saksi itu berkata dia membuat kesimpulan itu setelah Najib bertanya kepadanya mengapa Sultan kecewa dan sama ada dia mempunyai salinan resolusi.

Sri Ram: Apa suasana di mesyuarat itu? Bagaimana tanggapan anda?

Shahrol Azral: Saya akan mengatakan bahawa ia adalah tenang, saya menjangka ia menjadi lebih tegang. Sungguh-sungguh ia adalah tenang, walaupun saya fikir ia harus lebih tegang.

Sri Ram: Kenapa anda menjangkakan begitu ?

Shahrol Azral: Kerana ini adalah masalah besar dan ini melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan di mana kita mempunyai bon bernilai RM5 bilion, yang merupakan bon Islam pertama selama 30 tahun, yang dikeluarkan oleh kerajaan. Jadi, sebagai menteri kewangan, saya menjangkakan lebih banyak pertanyaan.

Sri Ram: Di manakah Jho Low apabila tertuduh berkata go ahead, I will talk to Tuanku?

Shahrol Azral: Dia ada di sana, saya tidak perasan, dia berkata apa-apa.

Sri Ram: Adakah terdapat perbualan dengan Jho Low dan tertuduh? Saksi menjawab "Saya tidak boleh ingat"

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan empat kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, dan untuk 21 lagi pertuduhan antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah diteruskan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS