Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Dari berniaga nasi lemak di tepi jalan, kini Rozeeta Abdul Manan yang merupakan anak kelahiran Taman Melawati, Kuala Lumpur bakal membuka kedai nasi lemak pertamanya di Qatar.

Berkongsi kepada Malaysiakini, dia yang lebih selesa disapa sebagai Kak Ojie dalam kalangan rakan-rakan dan pengikutnya di media sosial berkata kini dia sedang bertungkus lumus menyiapkan restoran miliknya yang bakal dibuka Oktober ini di negara Timur Tengah itu.

Wanita berusia 34 tahun ini memberitahu dia mendapat peluang itu apabila mengunjungi suaminya yang sedang bekerja di Qatar pada hujung tahun lalu.

Ketika berada di sana, dia berpeluang untuk menemui beberapa orang rakan kongsi suaminya dan keluarga mereka.

Bermula dari situlah, idea untuk membuka perniagaan di sana bermula, katanya.

“Dia (kawan suami) ada tanya maca, mana bisnes akak di Malaysia dan akak bagitahulah tengah tutup sebab sedang bercuti. Tapi dia tahu semua. Trak semua dah tiada.

“Kemudian, satu hari ni dia ajak jumpa dan bagitahu dia ada buat kajian pasal nasi lemak di Qatar. Tetapi dia dapat tahu kebanyakan yang jual nasi lemak di sini buat di rumah dan terletak agak jauh dari kawasan kami.

“Dari situlah dia tawarkan untuk buka kedai di sini. Satu lagi sebab katanya supaya akak tak berjauhan lagi dengan suami," katanya.

Tambahnya lagi, perniagaan tersebut merupakan usaha sama antara dia dan rakan kongsi dari Qatar dengan dia bertanggungjawab untuk menguruskan operasi restoran tersebut.

Kini, selepas perniagaan di Malaysia tidak lagi beroperasi, Rozeeta bakal membuka restoran nasi lemak pertamanya, OG Street Kitchen di kawasan Al-Wakrah pada Oktober ini selepas kerja-kerja pengubahsuaian peringkat akhir selesai.

Tenaga kerja Malaysia

Restoran miliknya itu juga bakal menggunakan tenaga kerja sepenuhnya dari Malaysia, iaitu dengan bantuan empat orang anak tempatan.

“Akak tak nak ambil orang luar sebab kita jual makanan Malaysia. Air tangan lain-lain," katanya.

Jelasnya lagi keputusan untuk mengambil warga Malaysia sebagai pekerjanya juga adalah kerana sikap rakyat Malaysia yang lebih mengutamakan perkhidmatan yang ditawarkan.

Rozeeta mengakui tetap berasa risau memikirkan operasi perniagaannya kelak, namun tidak mahu mensia-siakan peluang yang jarang datang.

“Kalau nak kata risau, tak payah tunggu Arab. Dengan bangsa sendiri pun akak risau. Nak berniaga nasi lemak kat mana-mana pun akak risau tak kira di tempat sendiri atau tempat orang.

“Akak tahu peluang hanya datang sekali seumur hidup. Akak akan ambil risiko ini.

Dia juga mengakui peluang ini boleh dikira sebagai peluang kedua buat dirinya selepas menemui kesukaran dalam perniagaannya sebelum ini ketika berada di Malaysia.

Antara kesukaran yang dihadapinya sebelum ini adalah dimana dia ditipu oleh seorang mekanik ketika ingin membaiki ‘food-truck’ miliknya.

Dia yang pernah melalui susah payah sebagai usahawan kecil-kecilan sebelum ini juga mengingatkan kepada usahawan di luar sana bahawa mereka perlu merasai kegagalan terlebih dahulu sebelum mencapai kejayaan dalam apa yang dilakukan dalam hidup.

“Nak berjaya kena gagal dulu, kena jatuh dulu.

“Jangan sampai memang dah taknak teruskan, itulah saat kamu betul betul gagal. Restu dan doa kedua ibu bapa juga sangat penting.

“Jika orang tak bagi sambutan, itu sama ada produk kita tak bagus atau orang tak suka kita.

“Ubah sikap dan baiki kualiti produk. Insya-Allah.

“Pagi-pagi celik je biji mata minum segelas air kosong selawat tiga kali. Sedekah al-Fatihah utk ibu dab ayah. Insy-Allah. Ini lah prinsip akak," katanya.

Rozeeta memberitahu ketika di awal pembabitannya dalam perniagaan nasi lemak, dia hanya menjual secara di atas talian sahaja sebelum memutuskan untuk mula berniaga di tepi jalan.

Bertitik tolak dari minatnya yang mendalam terhadap perniagaan nasi lemak juga, Rozeeta mula mengembangkan perniagaannya pada 2017 apabila mula membekalkan nasi lemak buatannya kepada beberapa pengusaha kedai makan di sekitar Selangor.

Dalam tahun yang sama, Rozeeta berjaya menembusi pasaran yang lebih besar apabila nasi lemak hasil air tangannya berjaya memasuki sebuah stesen minyak di Setia Alam untuk dijual pada waktu pagi.

Melihat penerimaan yang positif dari pelanggangnya, dia yang ketika itu bekerja sebagai pembantu peribadi kepada seorang pemilik produk kosmetik akhirnya memutuskan untuk berniaga secara sepenuh masa selepas mendapat nasihat dan dorongan daripada majikannya ketika itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS