Kementerian Sumber Manusia berkata "terlalu awal" untuk menyimpulkan kerajaan tidak akan meneruskan cadangan memasukkan peruntukan antidiskriminasi dalam pindaan Akta Pekerjaan 1955, bagi melindungi pencari kerja.
Ia selepas laporan Malaysiakini hari ini berkenaan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang mengesahkan cadangan peruntukan antidiskrimasi ditarik balik selepas dibantahnya.
Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan berkata bantahan itu atas asas Akta Pekerjaan 1955 hanya menyentuh perkara antara majikan dan pekerja, justeru tidak terpakai untu peringkat "prapekerjaan".
"Terlalu awal untuk mengatakan keputusan telah dicapai untuk membuang peruntukan antidiskriminasi dalam pengambilan kerja di bawah Akta Pekerjaan 1955 ketika perkara itu masih dalam perbincangan antara kementerian dan pemegang taruh.
"Malaysiakini patut mengambil maklum yang tiada keputusan yang telah dibuat atau boleh dibuat sehinggalah kabinet membuat keputusan," kata Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan cadangan pindaan dalam Akta Kerja 1955, yang disiarkan di laman web kementerian itu pada Sept 2018, ada lebih daripada 50 pindaan yang dicadangkan.
Antaranya peruntukan baru untuk "prapekerjaan", yang menyatakan "majikan tidak boleh mendiskriminasi pencari kerja berdasarkan jantina, agama, kaum, kecacatan, bahasa, status perkahwinan dan kehamilan".
Kementerian itu berkata, langkah menyiarkan cadangan pindaan itu di laman webnya dibuat atas dasar ketelusan kepada orang awam.
"Malang apabila cadangan pindaan yang disiarkan di laman web... digunakan dalam laporan tersebut untuk 'memutuskan' perkara itu secara pramatang," katanya.
Kementerian itu berkata pihaknya bekerjasama secara rapat dengan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan - yang turut disertai MEF dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia - untuk menangani soal berkaitan majikan dan pekerja sebelum meminda undang-undang dan merangka dasar.
"Kementerian menggesa semua pihak menunggu sehingga kabinet membuat keputusan sebelum membuat tanggapan sendiri," katanya lagi.
'Bimbang diskriminasi berterusan'
Terdahulu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan NGO Sisters in Islam (SIS) dalam kenyataan berasingan berkata penyingkiran peruntukan antidiskrimasi akan menyebabkan ketidakadilan akan berterusan.
"Cadangan pemansuhan ini mengecewakan kami kerana tindakan ini akan membenarkan diskriminasi untuk terus berlaku.
"Kami percaya bahawa undang-undang sedia ada boleh dan seharusnya dipinda bagi memberikan perlindungan terhadap pencari kerja selaras dengan larangan diskriminasi yang termaktub di dalam Perkara 8(2) Perlembagaaan Persekutuan," kata Suhakam.
SIS pula menyuarakan kebimbangan terutama terhadap pekerja dan pencari kerja wanita, dan Akta Pekerjaan juga terpakai untuk peringkat prapekerjaan.
"Diskriminasi dan keadaan yang diletakkan kepada perempuan yang memilih untuk memakai tudung, terutama dalam industri hospitaliti misalnya, tidak boleh diterima dan perlu dihentikan.
"Ketiadaan peruntukan antidiskriminasi mengalihkan dinamik kuasa di peringkat prapekerjaan menjadi berat sebelah kepada majikan," kata SIS.
"Pencari kerja perlu diberi perlindungan sewajarnya terhadap majikan yang mewujudkan halangan untuk kepelbagaian dan keterangkuman di tempat kerja," kata NGO itu lagi.