KES 1MDB NAJIB l Bekas pegawai khas Najib Razak hari ini mendedahkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa banyak serangan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada penghujung 2014 sehinggakan Pejabat Perdana Menteri (PMO) terpaksa mempertahankan Najib kerana percaya ia konspirasi kepada bekas perdana menteri itu.
Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata pada penghujung 2014 dan awal 2015, adalah tahun yang sukar bagi pejabat perdana menteri dan Najib sendiri kerana banyak rencana dan dokumen yang dikatakan bukti-bukti mengenai isu penyelewengan 1MDB telah dikeluarkan.
"Pada waktu itu juga terdapat begitu banyak serangan mengenai isu 1MDB dan kami di pejabat perdana menteri mengambil keputusan untuk 'mempertahan' kerana kami percaya itu adalah konspirasi kepada Najib," kata Amhari Efendi ketika pemeriksaan semula oleh bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram yang juga timbalan pendakwa raya kanan pada perbicaraan hari ke-11 kes Najib membabitkan dana 1MDB.
Disoal Sri Ram siapa yang dimaksudkan dengan 'kami'?, saksi pendakwaan kelapan itu menjawab: “Secara spesifiknya Allahyarham Azlin Alias (ketika itu bekas ketua setiausaha sulit Najib) dan saya tetapi secara amnya pegawai senior di pejabat perdana menteri”.
Menceritakan dengan lebih lanjut, Amhari Efendi berkata pejabat pengurusan perdana menteri sering diketengahkan mengenai isu 1MDB.
"Sebagai contoh isu pengeluaran dokumen yang mengatakan duit PetroSaudi adalah duit salah guna wang 1MDB dan isu gaya hidup Jho Low yang dikatakan mewah dan cerita mengenai 'Wolf of The Wall Street' yang dikatakan duit itu adalah dari duit 1MDB," katanya yang memaklumkan perkara itu berlaku antara Januari dan Februari 2015 kerana Azlin meninggal dunia pada April tahun sama.
Disoal Sri Ram apa yang saksi itu faham mengenai "Duit 1MDB la bro", Amhari Efendi menjelaskan ayat itu dilafazkan oleh Azlin kepadanya selepas Allahyarham turun dari pejabat Najib.
"Setahu saya tidak ada isu yang paling hangat diperkatakan selain daripada duit 1MDB yang diselewengkan...isu mengenai 'Wolf of The Wall Street' dan isu PetroSaudi merujuk kepada masalah paling hangat dan sukar pada waktu itu," katanya.
Sri Ram: 'Wolf of The Wall Street' itu merujuk kepada apa?
Saksi itu menjawab: Filem yang dikeluarkan oleh Riza Aziz iaitu anak tiri Najib.
Amhari Efendi juga menafikan bahawa beliau adalah pemilik Tycoon Gain Ltd dan Aabar Investment PJS Ltd (BVI).
Sementara itu, saksi utama pihak pendakwaan itu berkata beliau tidak pernah menerima sebarang arahan daripada bekas majikannya itu untuk membuat laporan polis ketika isu penyelewengan dana 1MDB hangat diperkatakan sejak 2015.
Sri Ram: Pada bila-bila masa, 2015 hingga 2018, adakah kamu menerima sebarang arahan daripada tertuduh (Najib) supaya membuat laporan polis?
Amhari Efendi: Tidak.
Sri Ram: Ada arahan (daripada tertuduh) untuk membuat laporan kepada SPRM?
Amhari Efendi: Tidak.
Amhari Efendi, yang dipanggil ke mahkamah bagi memberi keterangan sejak 3 September lepas, hari ini selesai memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Anggota Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi akan memberi keterangan.
- Bernama