Kumpulan hak asasi manusia menentang hukuman mati dan penyiksaaan (Madpet) mengalu-alukan keputusan kerajaan memasang CCTV di lokap dan pemakaian kamera badan untuk penguatkuasa.
Bagaimanapun, jurucakapnya, peguam Charles Hector berkata usaha kerajaan ini jangan disia-siakan begitu sahaja.
"Dalam beberapa inkues terdahulu, di mana mangsa ditemui mati dalam lokap polis, bukti CCTV tidak dapat dikemukakan kerana tiada rakaman dan pegawai polis yang sepatutnya memantau didakwa tidak melihat apa-apa.
"Dalam kes lain pula, CCTV dikatakan tidak berfungsi. Oleh itu, kerajaan juga perlu memperuntukkan dana yang mencukupi untuk memastikan semua CCTV dan kamera badan ini berfungsi dengan baik.
"Tanpa keupayaan merakan, CCTV, kamera kenderaan atau 'kamera badan' tidak begitu berguna," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan kerajaan juga perlu memastikan rakaman video sedemikian boleh disimpan sehingga enam tahun yang merupakan tempoh masa yang diberikan untuk saman sivil.
Menurut Charles, kamera badan untuk pegawai polis dan kamera yang dipasang di papan pemuka (dash cam) kenderaan polis bukanlah baru dan telah dilaksanakan di banyak negara.
"Di Hong Kong, suspek (yang kemudiannya boleh menjadi tertuduh) dan / atau peguamnya mempunyai hak untuk mendapatkan rakaman dari sejak saat penangkapan sehinggalah dia dibebaskan, termasuk juga rakaman mana-mana siasatan dan soal siasat polis," katanya.