Jabatan Meteorologi menjangkakan kualiti udara di negara ini akan bertambah baik minggu depan semasa fasa peralihan monsun.
Bagaimanapun, jabatan itu memberi amaran ribut petir dan banjir kilat dijangka berlaku semasa fasa ini kerana berkahirnya Monsun Barat Daya.
Fasa peralihan monsun itu dijangka bermula pada Selasa, 24 Sept dan berterusan sehingga awal Nov 2019.
"Permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula pada 6 Mei 2019.
"Semasa fasa peralihan monsun, keadaan cuaca yang lazim berlaku adalah ribut petir beserta hujang lebat dan angin kencang dalam jangka masa yang singkat terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan negeri-negeri di Pantai Barat dan pedalaman Semenanjung, Panati Barat Sabah, kawasan barat dan tengah Sarawak.
"Sehubungan dengan itu, cuaca berjerebu yang melanda rantau negara dijangka bertambah baik," kata jabatan itu dalam satu kenyataan.
Jabatan itu juga memberi amaran keadaan cuaca itu berpotensi menyebabkn banjir kilat dan kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh.
"Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meterologi Malaysia melalui laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial," jelasnya.
Keadaan jerebu bertambah baik sedikit
Sementara itu, keadaan berjerebu kelihatan bertambah baik sedikit tengah hari ini, dengan tidak ada kawasan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, 'sangat tidak sihat' atau 'berbahaya'.
Keadaan yang sama turut berlaku di Sri Aman yang mencatatkan IPU sekitar 322 pada jam 3.30 pagi iaitu pada paras berbahaya.
Pada jam 1 tengah hari ini, IPU di Sri Aman direkodkan pada bacaan 113, atau 'sederhana'.
Bacaan IPU 0-50 dianggap baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan IPU 300 ke atas dianggap berbahaya.
Dilaporkan aktiviti pembenihan awan telah dijalankan di Sarawak, salah satu negeri yang terjejas teruk akibat jerebu.