Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan berbincang dengan kabinet tentang cadangan supaya kerajaan membenarkan pengundi baru berusia 18 ke 21 tahun mendaftar secara manual sebelum pendaftaran automatik (AVR) dilaksanakan.
“Sebelum bersetuju, saya nak bincang dengan kabinet.
"Tapi perkara macam ini lebih baik tanya SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), sebab saya bukan SPR,” kata menteri belia dan sukan kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri pengumuman penajaan pemain bola sepak muda, Luqman Hakim Shamsuddin ke Eropah oleh pemilik beberapa kelab bola antarabangsa, Vincent Tan Chee Yioun di Hotel Berjaya Times Square di Kuala Lumpur.
Beliau menjawab soalan pemberita tentang cadangan Bersih agar pengundi muda baru dibenarkan mendaftar secara manual melalui mekanisme semasa iaitu mengisi borang melalui laman web SPR atau di pejabatnya, pejabat pos, atau melalui penolong pegawai pendaftaran, sebelum sebelum AVR dilaksanakan.
Cadangan itu menurut Bersih, akan membolehkan pengundi baru membuang undi dalam mana-mana pilihan raya kecil yang mungkin berlaku dan juga dalam pilihan raya negeri Sarawak yang dijadualkan berlangsung sebelum Ogos 2021, buat penduduk di situ.
Semalam, Pengerusi SPR Azhar Harun, menyatakan beliau bersetuju dengan cadangan Bersih.
Katanya, SPR akan membenarkan pengundi baru membuat pendaftaran Borang A atau membuat pendaftaran dalam talian sebaik sahaja tarikh penguatkuasaan ditentukan oleh kerajaan.
"SPR berpendapat bahawa kerana pindaan perlembagaan diperoleh melalui sokongan bi-partisan, maka tarikh penguatkuasaan juga harus dipersetujui dengan cara yang sama," katanya kepada Malaysiakini.
SPR, dalam satu kenyataan sebelum ini, berkata suruhanjaya itu memerlukan masa antara 18 hingga 24 bulan untuk melaksanakan pindaan itu, sama ada secara bersama atau secara berasingan.
Selain itu, mengulas mengenai penguatkuasaan Undi 18 yang diwartawakan bulan ini, Syed Saddiq menyatakan hal itu telah dibincangkan secara mendalam dengan SPR, termasuk melibatkan AVR yang katanya, salah satu teras utama pelaksanaan Undi 18.
“Kami yakin dengan kebolehan SPR untuk memastikan sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang perkara ini akan dimuktamadkan,” katanya lagi.
Pada 16 Julai lalu, Dewan Rakyat, dengan sokongan dwipartisan, meluluskan rang undang-undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan usia pengundian, dan umur untuk bertanding dalam pilihan raya, kepada 18 tahun. Rang undang-undang itu juga membenarkan pendaftaran pengundi secara automatik (AVR).
Rang undang-undang itu kemudiannya diluluskan di Dewan Senat dan mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong pada 4 September. Ia seterusnya diwartakan pada 10 September lalu.