Ketika Putrajaya merancang belanjawan berdasarkan visi Kemakmuran Berkongsi, ahli akademik menggesa agar kerajaan memberi tumpuan yang lebih ke atas isu gaji dan kebajikan rakyat.
Berucap di di Forum Awam Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi mengenai Belanjawan 2020 - Menjadikan Kemakmuran Yang Dikongsi Satu Realiti, pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram berkata beliau meramalkan kemelesetan global dan menegaskan bahawa belanjawan pengembangan perlu untuk menghadapi risiko berkenaan.
Menurutnya, belanjawan yang akan datang perlu memperuntukkan sebahagian besar dana awam untuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial supaya lebih banyak rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada program-program berkenaan,
Jomo memuji tumpuan Putrajaya terhadap pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta pada inisiatif sarapan percuma yang diumumkan baru-baru ini untuk pelajar sekolah rendah.
Bagi inisiatif yang kedua, beliau mencadangkan petani pekebun kecil diutamakan untuk membekalkan makanan ke sekolah kerana menurutnya ia akan merangsang sektor pertanian dalam negeri dan menggalakkan lebih banyak tanaman.
"Ia perlu menjadi pendekatan kerajaan di mana kementerian pendidikan bekerjasama dengan kementerian kesihatan dan kementerian pertanian serta kementerian lain, dan sangat penting (mereka mesti) bekerjasama dengan masyarakat sivil," katanya.
Berbanding jalan raya dan petroleum, Jomo mencadangkan bahawa dasar fiskal negara merangsang ekonomi dengan cara yang lebih mapan dengan menyokong sektor tenaga yang boleh diperbaharui.
Jelasnya, ia terutamanya kerana permintaan global terhadap produk tersebut semakin meningkat.
Katanya, usahawan tempatan perlu diberi insentif untuk menyelidik dan membangunkan produk seperti sel solar fotovoltaik dan biodiesel berasaskan minyak kelapa sawit.
Sementara itu, badan pemikir, Ideas, yang menganjurkan forum itu, mencadangkan Putrajaya memberi insentif kepada syarikat untuk membayar pekerja "sara hidup" dan bukan hanya upah minimum.
Gaji minimum ketika ini ialah RM1,100.
Pengarah penyelidikan Laurence Todd yang meramalkan dasar pukul rata (blanket policy) akan menjejaskan perniagaan, mencadangkan kerajaan memberikan insentif cukai kepada syarikat yang membayar gaji di atas gaji minimum.
Satu lagi cadangan yang dikemukakan adalah untuk melaksanakan skim ekuiti pekerja di mana pekerja, terutamanya mereka yang kurang pendapatan, diberi saham syarikat tempat mereka bekerja.
Todd berkata bahawa ia akan mengagihkan keuntungan kembali kepada orang-orang yang bekerja untuk syarikat itu, dengan memberikan pekerja perkongsian ekonomi yang lebih besar.