Menteri Besar Selangor Amirudin Shari hari ini secara sinis mengucapkan terima kasih kepada pihak yang “menangguk di air keruh” dalam isu perobohan rumah di Paya Jaras, Sungai Buloh.
Jelasnya, biarpun ada pihak yang bermain politik dalam isu itu, kerajaan negeri sebenarnya telah menawarkan bantuan untuk urusan pemindahan penduduk di kawasan tersebut sebelum ini.
“Kerajaan negeri dah tawarkan rumah, dah tawarkan kos pemindahan dan sebagainya, dan perbincangan telah dilakukan.
“Tapi ada mereka yang ingin menangguk di air yang keruh (jadi) saya ucapkan terima kasih. Silakan untuk main politik," katanya pada sidang media selepas merasmikan Akademi Kepemimpinan Wanita Selangor di Shah Alam hari ini.
Difahamkan kerajaan negeri mahu merobohkan petempatan di kawasan itu untuk projek pelebaran Sungai Kedondong di Paya Jaras Hilir bagi mengelakkan banjir kilat yang sering berlaku.
Biarpun tidak menyebut secara langsung, Amirudin dipercayai merujuk kepada Yang Dipertua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad yang hari ini mempertikaikan kemanusiaan kerajaan negeri dan menyifatkannya sebagai seolah-olah tidak ada perancangan dalam menguruskan perkara tersebut.
Untuk rekod, Zaharudin adalah salah seorang pemimpin berprofil tinggi dalam PAS kerana beliau adalah orang yang bertanggungjawab membangkitkan isu kartel dedak dalam parti itu, selain statusnya sebagai menantu kepada Abdul Hadi Awang.
Ada ambil kesempatan
Amirudin berkata isu petempatan tersebut melibatkan kawasan dan lokaliti besar iaitu Merbau Sempak dan Paya Jaras.
Katanya masalah banjir akan memberi kesan lebih parah jika projek itu tidak diteruskan di masa hadapan.
Semalam, wakil penduduk, Azroy Abdul Manaf, mengakui notis penangguhan perobohan berkuat kuasa pada 5 hingga 16 September sahaja.
Bagaimanapun, katanya, penduduk meminta hak kemanusiaan dan mengharapkan tempoh penangguhan lebih lama diberikan kepada mereka.
Dia berkata demikian selepas lebih 30 buah rumah di Kampung Kedondong dirobohkan.
Membidas dakwaan Zaharudin, Amirudin berkata, projek tersebut telah beberapa kali ditangguhkan sejak 2015.
Malah, katanya, atas permintaan beberapa penduduk termasuk Azroy, penangguhan turut diberikan kepada penduduk tertentu jika mereka ada anak yang menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Kalau tanpa perikemanusiaan, kita tak pernah tangguh,” katanya yang menambah bahawa untuk setiap kali penangguhan, kerajaan negeri perlu menambah kos RM2 juta kerana projek tebatan banjir tersebut tidak dapat diteruskan.
Kata Amirudin lagi, penangguhan dan ruang sudah cukup diberikan oleh kerajaan negeri kepada penduduk di situ.
“Kalau mereka kata tak tahu, 2015 kita dah bagitahu. Sebulan lepas kita dah bagitahu. Kita bagi tangguh selama tiga bulan untuk 2017, dan empat bulan untuk 2018.
“Solusinya telah diberikan dengan tawaran rumah. Senarainya juga telah dimurnikan pada penggal lepas dan penggal yang ini.
“Tapi tak apalah, pada masa sekarang mungkin ada yang nak ambil kesempatan untuk mendapat kepentingan politik segera,” katanya lagi.