Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
M'sia harus ambil peluang pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak berkata rakyat Malaysia, terutamanya di negeri Sabah dan Sarawak seharusnya mengambil peluang dalam pemindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan.

Bercakap pada sidang media bagi pelancaran program Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) pagi tadi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, dia memberitahu bahawa rakyat Malaysia tidak perlu risau dengan perkara tersebut sebaliknya harus melihatnya sebagai satu peluang.

Peluang yang dimaksudkan itu adalah dari sudut sains dan teknologi terutama perkhidmatan yang berkaitan Internet seperti submarine cable (kabel laut).

"Ketika ini, Indonesia menyalurkan 3.3 terabait data mereka melalui Singapura manakala Sabah dan Sarawak pula adalah jiran mereka.

"Dengan meningkatkan kadar sambungan internet di Sabah dan Sarawak seperti kabel dan rangkaian akan membolehkan kita untuk menyalurkan sebahagian daripada trafik IP itu melalui Malaysia," katanya.

Dia berkata hasrat itu akan terlaksana sekiranya kesemua pihak yang terlibat termasuk pemain industri dan juga kementerian melakukan kerja mereka dengan betul bagi mencapai matlamat itu.

Selain itu, Al-Ishal juga memberitahu sektor e-dagang tempatan juga akan turut menerima perkembangan yang positif daripada perkara tersebut.

Jelasnya, NFCP yang dilancarkan hari ini juga mampu untuk meningkatkan tahap perkembangan e-dagang di dalam negara.

Menurutnya lagi, angka dari Jabatan Statistik dan Perangkaan juga mengesahkan industri e-dagang menyumbang sebanyak 18 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Dia turut berharap penambahbaikan sambungan internet melalui pelan ini mampu untuk membantu kadar penembusan yang lebih tinggi bagi sektor e-dagang di samping membantu perusahaan kecil dan sederhana di negara ini.

Tambahnya, industri kecil dan sederhana di negara ini sangat penting dengan 90 peratus dari mereka mewakili keseluruhan jumlah syarikat yang didaftarkan di Malaysia dan turut menyumbang kepada jumlah eksport sebanyak 17 peratus.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS