Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan Kristianisasi: Syed Sadiq pertahan timbalannya
Diterbitkan:  Sep 19, 2019 10:27 AM
Dikemaskini: 2:27 AM

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertahankan timbalannya Steven Sim yang didakwa terbabit dalam agenda Kristianisasi oleh Timbalan Menteri PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya, Sim ialah seorang yang sangat bepegang kepada kesederhanaan dan kepelbagai kaum di Malaysia.

“Saya tidak pernah walau sekali merasakan yang dia mahu ‘Kristiankan’ saya atau KBS (Kementerian Belia dan Sukan).

“Hentikan politik kebencian dan marilah bersama bina lebih banyak jambatan sebagai sebuah negara yang bersatu," katanya menerusi ciapan di Twitter semalam.

Semalam Tuan Ibrahim mendakwa DAP mempunyai agenda Kristianisasi dengan merujuk ucapan Sim di forum di sebuah gereja di Kota Damansara, minggu lalu.

Dalam kenyataan balasnya, Sim berkata beliau hanya bercakap tentang nilai-nilai murni yang boleh dipelajari dalam kitab Bible sebagai panduan untuk penganut Kristian menjadi warga yang baik.

"Saya tidak mengkritik atau menyentuh mana-mana agama, malah mengajak penganut Kristian di Malaysia untuk menjadi warganegara yang mengamalkan nilai-nilai tersebut," katanya.

Beliau juga menyeru Tuan Ibrahim agar menghormati kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

The @scheekeong i work with in #TeamKBS is a firm believer of Multiracialism & moderation. He means well & is like a brother to me. I never once felt that he wanted to “Christianize” me or KBS.

Stop the politics of hate & let’s build more bridges together as a united Malaysia. https://t.co/UYHzP8e4yS

— Syed Saddiq (@SyedSaddiq) September 18, 2019

Kit Siang: Saya beragama Buddha, bukan Kristian

Sementara itu, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang turut mempertahankan Sim dan mendakwa Tuan Ibrahim yang juga anggota parlimen Kubang Kerian menyebarkan berita palsu.

“Boleh Tuan Ibrahim jelaskan apa yang salah dengan Sim berucap di gereja menasihati penganut Kristian agar menjadi warga yang baik?

“Adakah beliau akan cadangkan agar semua ahli politik dilarang memberi ucapan di rumah ibadat, tidak kira masjid, gereja atau kuil, dan bermula dengan pemimpin PAS?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menafikan DAP mempunyai agenda Kristianisasi dan menggesa Tuan Ibrahim agar tidak menyebarkan kebencian yang boleh memecahbelahkan rakyat Malaysia.

“DAP tiada agenda Kristianisasi dan mereka patut berhenti membuat dakwaan tidak berasas terhadap DAP. Saya adalah penganut agama Buddha, bukan Kristian,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS