Pasukan pembelaan bagi kes enam individu termasuk seorang Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang yang berdepan 32 pertuduhan berhubung pengeluaran secara tidak sah sijil kelahiran serta kad pengenalan dan menjual kepada warga asing, hari ini membantah cadangan agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Peguam Mohd Hisham Nazir yang mewakili Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang Mohd Faizul Arifin, 34, meminta kes tersebut dikekalkan di Mahkamah Sesyen selepas Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim memohon kes di bawah Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 supaya kes itu dipindahkan ke mahkamah tinggi.
"Pihak peguam ingin mengemukakan bantahan terhadap permohonan pihak Timbalan Pendakwa Raya yang memohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
"Pihak kami memohon mahkamah membenarkan bantahan ini dan memohon suatu tarikh untuk pendengaran hujahan berhubung bantahan ini," kata Mohd Hisham.
Permohonan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi itu dibuat Yusaini Amer yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang semasa kes itu disebut hari ini di hadapan Hakim Norsalha Hamzah dan Hakim Mazdi Abdul Hamid.
Sementara itu peguam Ranjit Singh Dhillon yang mewakili Chien Guan Chai,36, dan Mohd Faizal Tan Abdullah,66, berkata kesemua pihak pembelaan sebulat suara untuk membantah permohonan itu dan mahu kes anak guam mereka terus dibicarakan di Mahkamah Sesyen.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 dan 27 Sept ini bagi mendengar hujahan bantahan kepada permohonan tersebut.
Bagi kes di bawah Seksyen 466 Kanun Keseksaan dan di bawah Peraturan 25(1)(i) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang dihadapi kesemua tertuduh, mahkamah turut menetapkan 26 dan 27 Sept ini untuk sebutan semula kes.
Pada prosiding hari ini peguam Sukhindarpal Singh turut memaklumkan kepada mahkamah untuk menarik diri daripada mewakili tertuduh Mohd Faizul dan digantikan oleh peguam Mohd Hisham.
Sementara itu Peguam RSN Rayer yang mewakili Lai Chin Wah turut memohon kepada mahkamah untuk membenarkan anak guamnya membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul, diludah dan dipaksa menandatangani dokumen yang tidak diketahui kandungannya ketika dalam tahanan polis.
Hakim Norsalha kemudian membenarkan permohonan peguam tertuduh.
Pada 12 Sept lalu Mohd Faizul, bersama empat lelaki Loh Chan Cheong, 34; Chien Guan Chai, 36; Yap Cheng Wah, 43, dan Mohd Faizal Tan Abdullah, 66, masing-masing didakwa atas dua pertuduhan utama mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 manakala ahli perniagaan Lai Chin Wah, 56, dituduh atas tiga pertuduhan utama mengikut seksyen yang sama.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh pada masa itu dan pengakuan mereka akan direkodkan di Mahkamah Tinggi.
Mohd Faizul turut didakwa atas empat pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan serta lima pertuduhan mengeluarkan kad pengenalan kepada warga asing.
Lai, Loh dan Yap juga masing-masing dituduh atas dua pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan serta bersubahat dengan Mohd Faizul bagi tujuan pemalsuan dokumen itu manakala Chien berdepan empat pertuduhan sama.
Bagi dua pertuduhan utama, Mohd Faizul didakwa membuat dokumen pengenalan diri fraud iaitu sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng bagi maksud memudahkan suatu perbuatan penyeludupan migran di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di Pulau Pinang antara bulan Januari hingga Februari 2019.
Loh, Chien, Yang dan Mohd Faizal Tan masing-masing didakwa atas dua pertuduhan utama menjual sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng di sekitar kawasan George Town pada tempoh yang sama.
Lai pula didakwa atas tiga pertuduhan utama menjual sijil kelahiran, kad pengenalan dan pasport atas nama Ewe Chor Beng di sekitar kawasan George Town antara Januari hingga Mac 2019.
Untuk kesemua pertuduhan itu, mereka masing-masing didakwa mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Mohd Faizul turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan masing-masing atas nama Ewe Chor Beng dan Tan Xiu Xiu di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di sini antara bulan Januari hingga Mei 2019.
Lai, Loh dan Yap juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng serta bersubahat dengan Mohd Faizul bagi tujuan pemalsuan dokumen itu di tempat yang sama antara Januari hingga Februari 2019.
Chien pula mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan masing-masing atas nama Ewe Chor Beng dan Tan Xiu Xiu serta bersubahat dengan Mohd Faizul bagi tujuan pemalsuan dokumen itu di tempat yang sama antara Januari hingga Mei 2019.
Bagi kesemua pertuduhan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Selain itu Mohd Faizul turut mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan di bawah Peraturan 25(1)(i) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana mengeluarkan kad pengenalan atas nama Tan Xiu Xiu, Lim Hock Eng, Ewe Chor Beng, Yang Xiaohong dan Pheh Jin Leong di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di sini antara 20 Sept 2018 hingga 3 Mei 2019.
Bagi kesemua pertuduhan itu, jika disabitkan kesalahan kesemua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
- Bernama