Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar sangkal ada individu lain mahu rebut jawatan PM
Diterbitkan:  Sep 18, 2019 3:10 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Presiden PKR, Anwar Ibrahim menolak laporan bahawa terdapat calon lain sedang dipertimbangkan untuk menggantikan tempat perdana menteri.

"Tiada tanda mana-mana pihak memperkenalkan atau mempromosikan atau melobi nama-nama lain.

"Ini tidak menghalang individu lain yang memiliki cita-cita dengan reka bentuk mereka sendiri.

"Dan ini bagi saya adalah agak tidak relevan. Sama ada ia telah dibincangkan, sama ada ia telah diberikan kesahihan, jawapannya tidak," beliau dipetik sebagai berkata oleh Bloomberg.

Anwar mengulas laporan bahawa Timbalan Presiden PKR Azmin Ali atau Mukhriz Mahathir sedang dipertimbangkan sebagai pengganti kepada Dr Mahathir Mohamad.

Azmin yang berselisih pendapat dengan Anwar terpalit dengan skandal video seks yang menunjukkan individu menyerupai dirinya dengan lelaki dalam aksi hubungan sejenis.

Spekulasi bertiup kencang bahawa klip video itu timbul berikutan perebutan jawatan jawatan perdana menteri apabila Mahathir dikatakan cenderung untuk memilih Azmin bagi menggantikan tempatnya.

Bagaimanapun, Mahathir sendiri ketika ditanya mengenai perkara itu pada Julai lalu menegaskan beliau akan berpegang kepada janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Sementara itu, pemimpin Umno telah lama menentang sekiranya Mahathir berhasrat melantik anaknya Mukhriz sebagai perdana menteri.

Anwar yakin peralihan kuasa akan berlaku pada tahun 2020, dua tahun selepas Pakatan Harapan menumbangkan BN pada pilihan raya umum 2018.

"Ada satu persefahaman bahawa ia harus berlaku pada masa itu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS