Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan sedia isytihar darurat jika IPU lebih 500 - TPM
Diterbitkan:  Sep 18, 2019 12:37 PM
Dikemaskini: 4:37 AM

Kerajaan sedia mengisytiharkan keadaan darurat sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi tahap 500, iaitu keadaan yang sangat bahaya, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan meningkatkan kesiapsiagaan dalam menangani masalah jerebu yang semakin teruk melanda negara.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat supaya tidak melakukan pembakaran terbuka untuk mengelak keadaan menjadi bertambah buruk.

“Berdasarkan maklumat Laporan Terkini Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia sehingga 14 September lalu, seluas 328,724 hektar kawasan terjejas dengan kebakaran hutan di seluruh negara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Sayangi Komoditiku Zon Sarawak di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Mukah, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, kerajaan Indonesia meningkatkan pemantauan terhadap tompok panas, jarak ketampakan, kualiti udara dan kewujudan asap di samping melakukan operasi pembenihan awan, pengeboman udara dan pemadaman api di darat.

Enam wilayahnya yang terjejas ialah Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Daerah Sri Aman di Sarawak merekodkan IPU yang semakin meningkat dengan bacaan tahap bahaya menghampiri 400 setakat jam 6 petang tadi, dan berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) bacaan terkini kawasan itu adalah 389, melepasi 300 sejak jam 2 petang.

Kuching masih berada pada tahap IPU sangat tidak sihat dengan bacaan 213 diikuti Johan Setia Klang, Selangor iaitu 231.

Nilai di Negeri Sembilan merekodkan bacaan 206 manakala Seri Manjung di Perak menjadi lokasi terbaru sejak tengah hari tadi mencatatkan kualiti udara sangat tidak sihat iaitu 232 berbanding 183 pada jam 9 pagi tadi.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia sudah menawarkan khidmat bagi membantu Indonesia memadamkan kebakaran hutan di negara itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Wan Azizah menggesa belia melakukan anjakan paradigma dengan memberanikan diri memasuki bidang yang dahulunya dianggap sebagai bidang 3D – (kotor, sukar dan berbahaya) seperti sektor perladangan.

“Ini bermaksud belia perlu mengambil peluang diberi kerajaan dengan menceburi bidang yang mampu meningkatkan taraf hidup mereka selaras dengan wawasan negara untuk menjadi negara maju,” katanya.

Dalam perkembangan lain, timbalan perdana menteri berkata, Kementerian Industri Utama menetapkan sasaran pada tahun 2020 untuk nilai pendapatan eksport produk komoditi pada RM146 bilion dan sumbangan minimum kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekurang-kurangnya lapan peratus.

“Dari Januari hingga Disember 2018, pendapatan eksport adalah RM127.78 billion. Pendapatan eksport perlu ditingkatkan 12.5 peratus untuk mencapai sasaran tahun 2020 itu,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS