Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pandikar label Anwar ‘samurai terakhir’, Salleh Keruak sokongnya sebagai PM
Diterbitkan:  Sep 17, 2019 2:14 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Pernah di pihak yang bertentangan, Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini menghadiri majlis sambutan Hari Malaysia yang dianjurkan oleh bekas Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia, dan bekas menteri BN Salleh Said Keruak.

Kedua-dua bekas panglima perang Umno itu menganjurkan sambutan Perhimpunan Memperingati Hari Malaysia Sabah 2019 di Dewan Seri Kilapi, Rampayan Laut, dekat Kota Belud di bawah NGO mereka Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (Usbo).

Semasa sidang akhbar selepas majlis itu, Pandikar selaku presiden Usbo memohon maaf kepada Anwar berhubung beberapa kenyataan yang dibuatnya semasa pilihan raya kecil Sandakan pada Mei lalu, kerana tidak menunaikan janjinya untuk mengurangkan harga minyak.

“Sebenarnya, saya perlu minta maaf, semasa di PRK Sandakan, saya memomok dia, dia kata 'hari ini kita perintah, harga minyak akan turun'.

“Tetapi ketika berjumpa dengan Anwar, dan lihat laporan itu dan saya sedar, saya begitu bodoh ... Apa yang dia katakan sebenarnya adalah 'hari ini saya ambil sumpah sebagai perdana menteri', bukan sebagai orang yang keluar dari penjara, bukan sebagai wakil rakyat," katanya.

Pandikar dipercayai merujuk kepada ucapan Anwar pada kempen pilihan raya umum 2008, 11 tahun lalu.

Sementara itu, Pandikar dalam ucapannya turut menyifatkan Anwar sebagai pemimpin paling layak atau ‘the last samurai’ untuk menerajui kepemimpinan negara selepas Mahathir.

“Usbo menyokong penuh kepemimpinan Anwar dan politik adalah dinamik dan keputusan kita pada hari ini kena ambil kira persekitaran politik masa kini…kita menyokong bukan disebabkan mahukan jawatan atau apa-apa imbuhan kerana kita yakin Anwar mampu menyatupadukan seluruh rakyat di negara ini,” katanya.

Bekas speaker itu juga memuji Anwar sebagai penyelamat kesetaraan antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat.

"Kami (mahu) merasakan bahawa kami setaraf dengan Semenanjung, jadi itu tanggungjawab kamu (Anwar), sebab itulah saya kata kamu adalah samurai terakhir untuk mempertahankannya," katanya.

Sementara itu, bekas bendahari Umno Salleh, yang adalah penasihat Usbo menyokong Anwar sebagai bakal perdana menteri.

“Pada saya, kami persatuan Usbo ini menyokong sepenuhnya Datuk Seri Anwar Ibrahim seabagai perdana menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pada kita Anwar di landasan betul untuk menyelamatkan Malaysia kerana bagi kita paling bahaya adalah Malaysia (dilanda) politik ekstrem kerana kita ada berbilang agama, budaya yang penting penyatuan Malaysia bukan sahaja penyatuan satu-satu bangsa sahaja,” katanya.

Sebelum ini terdapat spekulasi bahawa Pandikar dan Salleh akan menyertai PKR.

Bagaimanapun, Pandikar berkata tiada apa-apa kaitan politik mengenai kehadiran Anwar pada majlis hari ini.

"Tidak ada yang politik, bukannya kita mahu menyertai PKR ... ini adalah sokongan tulen, kita menyokongnya kerana reformasi itu," katanya.

Anwar juga mengakui bahawa majlis hari ini adalah acara kebudayaan, dan perkara-perkara parti tidak dibincangkan, sebaliknya ia hanya sokongan daripada sebuah pertubuhan suku kaum.

“Saya agak terkesan kerana mereka memberikan sokongan kepada saya…dan apa yang kita bincangkan pada hari ini hanya mengenai kebudayaan dan tiada perbincangan mengenai politik.

“Tapi saya sambut positif la. Orang sokong saya,” kata presiden PKR itu.

Pandikar dan Salleh menyertai pemimpin Umno Sabah lain yang bertindak meninggalkan parti itu pada bulan Disember lalu.

Bagaimanapun, sementara kebanyakan anggota Umno di Sabah menyertai Bersatu, Salleh dan Pandikar kini tidak menganggotai mana-mana parti.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Anwar berkata apa yang penting sekarang adalah untuk membawa landskap politik baharu yang memikirkan rakyat dan menunjukkan teladan yang baik.

“Saya yakin rakyat akan bersama kita jika kita menunjukkan teladan yang baik. Soal menjadi perdana menteri, perkara ini sudah dibincangkan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan sekarang gilirannya mentadbir, saya tidak ganggu.

“Namun apabila tiba giliran saya jadi Perdana Menteri, saya akan laksakana tanggungjawab itu sebaiknya.

"Saya akan pastikan ada perubahan yang baik pada masa hadapan dan saya akan teruskan tanggungjawab berkenaan tuntutan Sabah khususnya mengenai Perjanjian Malaysia 1963 seperti yang dilakukan oleh Dr Mahathir pada masa kini,” katannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS