Naib Presiden Umno Khaled Nordin hari ini membalas sindirian Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof yang sebelum ini menggelar pemeteraian piagam antara Umno dan PAS sebagai 'wedding of the year', dan ramalannya berkenaan perkara itu akhirnya terbukti benar.
“Berbekalkan rasa bangga yang menebal kerana kononnya ramalan YB benar belaka, saya boleh mengusulkan kepada Umno dan PAS untuk menganugerahkan pingat nujum negara kepada YB.
“Bukan mudah untuk mereka yang dahulunya berguling di jalanan kini menjadi pengulas politik yang berat sebelah," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Umno Online hari ini.
Menurut Khaled, beliau hairan kerjasama antara Umno dan PAS - dua parti terbesar Melayu - mengundang "prejudis yang menebal" daripada pemimpin seperti Mujahid sehingga "menyerang saudara seagamanya".
Dalam tulisannya pada 15 September lalu, Mujahid antara lain menyifatkan sebahagian besar kandungan piagam Muafakat Nasional adalah cerminan kegagalan Umno untuk melaksanakannya ketika mentadbir negara sebelum ini.
Baca: Piagam Umno-PAS: Ramalanku benar belaka
Mujahid juga membangkitkan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini yang pernah menyifatkan Umno sebagai "mempertahankan perlembagaan Taghut."
Mengulas perkara itu, Khaled meminta Mujahid yang juga menteri di jabatan perdana menteri untuk berhenti mengungkit kenyataan pemimpin PAS sebelum ini, sebaliknya meningat kembali kenyataan bapanya yang juga bekas mursyidul am PAS, Yusof Rawa.
Khaled berkata Allahyarham sebelum ini berkata umat Islam perlu berhati-hati dengan usaha "musuh-musuh Islam" untuk memecahbelahkan mereka.
“Kalau mengikut interpretasi kasar saya, bolehlah dikatakan arwah cuba mengingatkan kita tentang golongan Islam yang ditaja dan dikawal...untuk memecahbelahkan orang Islam.
“Tetapi itu hanyalah menurut pandangan saya. Mungkin YB ada pandangan berbeza. YB pasti lebih tahu dan mengerti,” katanya lagi.
Khaled juga menjawab kenyataan Mujahid yang menyebut kegagalan Umno untuk menjaga kepentingan Melayu apabila berlakunya dakwaan salah guna kuasa dalam Tabung Haji, Felda dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Menyifatkannya sebagai serangan lapuk, Khaled berkata Mujahid masih "taasub dan terperangkap dengan cerita lama" dan mahu "mengungkit-ungkit".
“Nampaknya, beliau tidak mahu Umno-PAS berubah. Beliau seolah-olah cacing kepanasan apabila ada kesilapan kami dahulu yang mahu diperbetulkan. Nasihat saya mudah, please move on.
“Berhikmahkah ungkitan sebegini diulang-ulang oleh orang yang mendakwa mahu mempromosikan konsep Islam sebagai rahmat sekalian alam? Adakah ini teladan baik yang boleh ditunjukkan ketika melihat orang Islam mahu membetulkan diri dan berubah menjadi lebih baik?" soalnya lagi.