Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Abang Johari: Sarawak akan sentiasa dalam Malaysia

Sarawak akan sentiasa berada dalam Malaysia, dan sebarang masalah yang timbul pasti dapat diselesaikan dalam semangat kekeluargaan, kata Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg.

Menegaskan perkara itu beliau berkata, anggota pentadbiran kerajaan negeri berkeyakinan penuh bahawa perkara-perkara yang dibincangkan Jawatankuasa Khas Pemandu MA63 dan Malaysia akan menemui penyelesaian, serta persefahaman rakyat Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak lebih padu dan kukuh.

“Dalam hal ini, saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana membentuk sebuah jawatankuasa pemandu bagi menangani isu ini.

"Rundingan sekarang berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia, yang dipengerusikan oleh YAB Tun (Dr Mahathir Mohamad) menguatkan hal ini,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2019 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya malam tadi.

Abang Johari menambah Sarawak yakin dengan penyelesaian yang akan menyaksikan tidak ada pihak yang rugi - dan lebih penting - tidak meremehkan hak perlembagaan, perlindungan khas dan status yang diberikan kepada negeri-negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana dipersetujui oleh bapa-bapa pengasas negara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 56 tahun lalu.

“Dalam mana-mana sistem politik, di mana wujudnya dua atau lebih kuasa perundangan yang mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang, persempadanan bidang kuasa untuk menggubal undang-undang hendaklah jelas.

“Walaupun dengan kewujudan persempadanan yang jelas, ketidaksetujuan masih boleh berlaku kerana kuasa-kuasa ini dipengaruhi oleh keperluan semasa, aspirasi dan agenda pembangunan Kerajaan Persekutuan atau kerajaan-kerajaan negeri,” katanya.

Abang Johari percaya walaupun Sarawak dan Persekutuan berada di platform politik yang berlainan, ia tidak menghalang kedua-dua pihak untuk terus bekerjasama bagi kepentingan rakyat dan negara.

Ketua Menteri itu turut menyambut baik pendekatan Wawasan Kemakmuran Bersama yang diumumkan Dr Mahathir baru-baru ini.

Ia antara lain bertujuan meningkatkan kuasa beli rakyat serta menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan antara kaum.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS