Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images

LANGSUNG | Perbicaraan bekas perdana menteri, Najib Razak, yang dituduh melakukan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB memasuki hari kelapan hari ini.

Di depan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah, Najib dihadapkan dengan 25 tuduhan membabitkan dana sebanyak RM2.28 bilion.

Sebelum ini anggota parlimen Pekan itu diberikan cuti sakit dua hari atas faktor kesihatan, apabila beliau didapati mengalami konjunktivitis.

Malaysiakini membawakan liputan perbicaraan itu secara langsung

LANGSUNG


5.05 petang - Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah, membenarkan permohonan peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah untuk menangguhkan prosiding ke esok hari pada jam 9.15 pagi.

Terdahulu, Sequerah mengizinkan permohonan ketua pendakwaan DPP Gopal Sri Ram supaya prosiding melepasi jam 5 petang.

Shafee menjelaskan permohonannya pula kerana terdapat beberapa dokumen yang perlu difotostat bagi membantu pemeriksaan balas terhadap bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin.

Ini mendorong Sri Ram bangun dan menyatakan "kekecewaannya" mengundang tawa kecil sidang mahkamah.

Selanjutnya, Shafee berkata pemeriksaan balas terhadap Amhari mungkin akan selesai esok.


5.00 petang - Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) Shahrol Azral Ibrahim Halmi ialah individu yang mengutarakan idea supaya kerajaan persekutuan mengambil alih sepenuhnya syarikat itu, kata saksi kepada mahkamah hari ini.

Semasa pemeriksaan balas oleh pembelaan terhadap Amhari Efendi Nazaruddin, saksi itu ditunjukkan surat oleh Shahrol kepada perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu, Najib Razak, yang mana Shahrol telah membuat cadangan itu.

Amhari juga setuju berdasarkan surat itu, Shahrol juga mencipta nama baru TIA sebagai 'MDB' sebagai nama baru TIA.


4.58 petang - Tiba-tiba lampu di atas siling berkeli-kelip dan sidang mahkamah yang serius mencuit rasa geli hati.

Ketika peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah sedang melakukan pemeriksaan balas terhadap saksi ke-8 dan bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin, lampu mahkamah lantas berkedip-kedip, menyebabkan Shafee berhenti menyoal dan mendongak ke atas siling.

Tawa berderai di mahkamah ketika ketua pendakwaan DPP Gopal Sri Ram menyimpulkan "ia memberitahu waktu sudah masuk jam 5 petang."

Selepas sidang mahkamah riuh sekejap, Shafee kemudiannya menyambung semula pemeriksaan balas.


4.40 petang: Pada 2009 kabinet memutuskan untuk menyerahkan keputusan pemilikan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) kepada Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Terengganu.

Hal itu kerana, mahkamah diberitahu, timbul masalah berhubung pengeluaran bon TIA.

Bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin, bersetuju dengan cadangan peguam bahawa mesyuarat kabinet menunjukkan Pusat tidak berminat mengambil alih TIA ketika itu.

Berdasarkan minit mesyuarat, Amhari juga bersetuju kerajaan persekutuan lebih suka kalau kerajaan Terengganu memilih "Opsyen 2" daripada tiga cadangan yang dikemukakan berhubung isu berkenaan.

Opsyen 2, kata Amhari, ialah agar MBI Terengganu terus memikiki TIA dan bekerjasama dengan pusat.


4.17 petang: Jho Low didakwa berminat kepada petroleum Terengganu seawal 2008.

Ketua pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah, berkata melalui syarikat UBG - yang sebahagian daripadanya milik Jho Low - menyatakan hal itu melalui buku laporan tahunan mereka bertarikh Sept 2008.

Hal itu diberitahu kepada mahkamah apabila Shafee membacakan laporan tersebut.

Petikan dibaca Shafee berbunyi: "Kepada pemegang saham. Pada Sept 2008, UBH mengadakan perjanjian dengan Mubadala untuk cadangan mengadakan usaha sama eksklusif bagi menubuhkan syarikat penerokaan dan pengeluaran projek minyak dan gas di Malaysia, dengan tumpuan awal di Terengganu, Sarawak dan Sabah."

Shafee: Saya membacanya untuk membuktikan bahawa UBG - yang sebahagiannya dimiliki oleh Jho Low - saya membuktikan melalui syarikatnya. Dari semua yang anda lihat hari ini dan pelancaran TIA di Terengganu, adakah kamu terkejut bahawa Jho Low sebenarnya menyasarkan petroleum di Terengganu melalui laporan UBG ini?

Amhari: Ya, ia satu kejutan.

Shafee: Dia (Jho Low) tak ada beritahu kamu?

Amhari: Tidak.


3.40 petang: Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Terengganu pada Mei 2009 pernah cuba menggantung pengeluarn bon oleh Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazarudin, berkata demikian semasa disoal balas peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Terdahulu Amhari ditunjukkan dokumen ditandatangani Menteri Besar Terengganu ketika itu, Ahmad Said, kepada Najib yang bertugas sebagai menteri kewangan.

Bekas MB Terengganu, Ahmad Said

Surat itu menyatakan pengeluaran bon oleh TIA dibuat tanpa wakil daripada MBI Terengganu. Keadaan itu, katanya, bercanggah dengan perjanjian syarikat tersebut.

Amhari kemudian bersetuju dengan cadangan Shafee bahawa surat berkenaan menunjukkan kerajaan terengganu memberitahu TIA bahawa mereka tidak boleh menyalahgunakan bon kerana MBI Terengganu tidak diwakili.


2.56 petang: Penyanyi terkenal, Bono, dari kumpulan U2; Permaisuri Jordan, Ratu Rania; dan Pengerusi merangkap Ketua Eksekutif Louis Vuitton, Bernard Arnault; adalah antara nama yang dicadangkan untuk dilantik sebagai anggota pemegang amanah Yayasan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu, cadangan itu diusulkan Jho Low dalam mesyuarat TIA pada Mac 2009.

Ketua pembelaan Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah, mendedahkan hal itu semasa menyoal balas saksi pendakwaan, Amhari Efendi Nazaruddin.

Berkenaan hal itu Shafee merujuk kepada pebualan Jho Low dan Amhari dan Ketua Setiausaha Sulit Najib ketika itu, Azlin Alias, di Hotel Prince, Kuala Lumpur.

Shafee: Saya cadangkan kepada kamu, nama-nama ini dilontarkan Jho Low untuk membuat kerajaan negeri dan persekutuan kagum walaupun pada realitinya ia tidak akan jadi kenyataan.

Amhari: Saya tak tahu.

Shafee: Saya cadangkan kepada kamu, sebenarnya selebriti ini tak tahu nama mereka disebut.

Amhari: Saya tak tahu.

Shafee: Adakah kamu cuba dapatkan maklumat... saya pasti kamu terpegun apabila sebahagian daripada nama ini dicadangkan.

Amhari: Saya cuma ingat Bernard Arnault. Saya tak bertanya lebih lanjut.

Apabila ditanya Shafee sama ada Amhari pernah terlintas bahawa apa yang dilakukan itu adalah usaha Jho Low untuk menipu, saksi pendakwaan terbabit menjawab: "Tidak."


2.38 petang: Perbicaraan sesi petang bermula.


1.10 petang: Mahkamah berhenti rehat dan perbicaraan akan disambung kira-kira jam satu setengah jam lagi.


1.08 petang: Hakim Sequerah membenarkan permohonan ketua pendakwaan, Gopal Sri Ram, untuk melanjutkan prosiding hari ini sehingga selepas jam 5 petang.

Dengan ketetapan itu ada kemungkinan perbicaraan hari ini akan berlanjutan sehingga malam.


12.50 tengah hari: Bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin, berkata beliau tidak dapat mengingai siapa yang diwakili Jho Low apabila ahli perniagaan terbabit menghadiri mesyuarat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Kata Amhari, beliau juga tidak ingat siapa yang menjemput Jho Low menghadiri mesyuarat tersebut dan tidak pernah bertanya kepada individu yang dikehendaki polis itu mengenainya.

Bagaimanapun katanya beliau masih ingat Jho Low berperanan membuat cadangan mengenai masa depan TIA dalam mesyuarat yang dihadiri mereka itu.


12.40 tengah hari: Dicadangkan oleh Muhammad Shafee Abdullah, saksi kelapan pendakwaan, Amhari Efendi Nazaruddin, bersetuju bahawa memorandum Kementerian Kewangan kepada kabinet untuk menjadikan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) sebagai 1MDB dibentangkan bukan untuk kepentingan peribadi Najib Razak.

Amhari memberikan jawapan itu selepas Shafee - ketua pembelaan Najib - menunjukkan kepada mahkamah salinan dokumen yang diserahkan sebagai bahan bukti.

Beliau juga bersetuju bahawa pada dokumen tersebut tertera maklumat mengenai TIA yang akan mencetuskan lebih banyak peluang pelaburan di Malaysia dan Terengganu, sekali gus memberi manfaat kepada negara dan negeri di Pantai Timur.


12.10 tengah hari: Ahli perniagaan, Low Taek Jho - atau lebih dikenali sebagai Jho Low - menghadiri mesyuarat jawatankuasa pemandu dan jawatankuasa penyeleras Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) pada 5 Mac 2009.

TIA adalah entiti asal 1MDB.

Bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin, memberitahu mahkamah, beliau setuju dengan cadangan peguam bela bahawa Jho Low menghadiri mesyuarat itu melalui jemputan.

Amhari juga menjelaskan beliau masih ingat sedikit sebanyak mengenai mesyuarat yang diadakan di pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu dan ada tiga cadangan dikemukakan tiga institusi kewangan untuk meningkatkan bon TIA.

Tiga institusi tersebut, kata Amhari, ialah Goldman Sachs, JP Morgan dan Nomura. Bagaimanapun beliau tidak dapat mengingati sama ada firma tersebut dicadangkan Jho Low atau tidak.


12.03 tengah hari: Perbicaraan bersambung selepas ditangguhkan seketika untuk membolehkan pihak pembelaan mendapatkan dokumen yang diperlukan mereka untuk menyoal balas saksi, Amhari Efendi Nazaruddin.


10.32 pagi: Mahkamah membenarkan permohonan ketua pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah, menangguhkan perbicaraan untuk membolehkan pihaknya menguruskan beberapa dokumen.

Permohonan peguam kanan itu dibuat ketika beliau sedang menyoal balas bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin.

Ia adalah dokumen berhubung minit-minit mesyuarat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) pada 2009. TIA adalah badan yang kemudian ditukar menjadi 1MDB.


10.15 pagi: Amhari Efendi Nazaruddin tidak bersetuju apabila ketua peguam bela, Muhammad Shafee Abdullah, mencadangkan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) sebelum ini adalah idea Yang di-Pertuan Agong berbanding "baby" Najib.

Sebaliknya saksi pendakwaan kelapan itu memberitahu, TIA - yang kemudian menjadi 1MDB - adalah "baby" dan idea Najib sendiri.

Bagaimanapun semasa disoal balas itu Shafee merujuk kepada mesyuarat TIA pada 2018 menegaskan bahawa Sultan Terengganu - yang pada ketika itu menjadi Agong - adalah idea baginda.

Shafee: Datuk (Ahmari) memang sedar awal-awal lagi, 2008, tahu ini bukan baby Datuk Seri Najib. Seluruh negara tahu idea (mengenai) TIA.

Amhari: Saya tak setuju.


9.55 pagi: Bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin, diminta mengenal pasti tujuh orang yang dinyatakannya dalam keterangan saksi kepada mahkamah.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Akram Gharib, sama ada Amhari boleh melakukannya sekali gus, dia menjawab: "Insya-Allah."

Akram kemudian meminta pegawai mahkamah membawa masuk tujuh individu terbabit iaitu bekas pengerusi 1MDB, Che Lodin Wok Kamarudin; Wan Shihab Wan Ismail (seorang lagi bekas pegawai khas Najib), Shahrol Azral Ibrahim Halmi (bekas ketua pegawai eksekutfi 1MDB), Arul Kanda Kandasamy (juga bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB), Dennis See (bekas pegawai projek 1MDB), Azmi Tahir (bekas pegawai kewangan 1MDB) dan Riza Shahriz Abdul Aziz (anak Rosmah Mansor yang juga anak tiri Najib).

Semua mereka kemudian berbaris menghadap hakim dan Amhari mengenal pasti mereka dengan segera.

Riza Aziz


9.52 pagi: Prosiding bermula dengan saksi kelapan pendakwaan, Amhari Efendi Nazaruddin, mengambil tempat untuk disoal balas peguam bela Najib.


9.30 pagi: Tertuduh memasuki mahkamah dan seperti selalu mengambil tempat di kerusi depan sementara menunggu perbicaraan bermula.

Turut kelihatan dalam mahkamah ialah ketua pendakwaan, Gopal Sri Ram.


Menurut maklumat Kementerian Kesihatan, konjunktivitis berlaku apabila berlaku radang akibat jangkitan bakteria atau virus - atau alahan - pada selaput lutsinar yang melitupi mata putih dan bahagian dalam kelopak mata.

Bahagian selaput itu dikenali sebagai konjunktiva.

Untuk rekod, semasa dibicarakan untuk kes salah guna kuasa dan penyelewengan bagi kes dana RM42 juta milik bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd (SRC) di mahkamah lain sebelum ini, prosiding juga pernah ditangguhkan beberapa hari atas alasan sama.

Dijangkakan perbicaraan hari ini bermula dengan peguam bela Najib akan menyoal balas saksi pendakwaan, Amhari Efendi Nazaruddin.

Amhari ialah bekas pegawai khas Najib.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS