Perselisihan antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya Azmin Ali kelihatan semakin meruncing menjelang kongres parti itu yang dijadualkan Disember depan.
Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau tidak akan menghadiri mana-mana mesyuarat parti melainkan Anwar bersetuju bertemu beliau dan beberapa pemimpin lain yang memihak kepada Azmin.
Zuraida berkata, usaha telah dibuat untuk mendekati Anwar tetapi anggota parlimen Port Dickson itu tidak memberi maklum balas kepada cadangannya agar rekonsiliasi diadakan.
Beliau berkata, mereka yang mahu bertemu Anwar termasuk Azmin, dua naib presiden termasuk dirinya, 14 anggota majlis pimpinan pusat PKR dan enam yang lain dianggap dari 'pihak lain'.
"Melainkan dan sehingga jika kita bertemu presiden, sehingga pertemuan itu menjadi kenyataan, tidak akan ada rekonsiliasi," kata Zuraida kepada pemberita di Tanjung Tokong hari ini.
Ditanya mengenai kongres parti yang akan diadakan pada Disember, Zuraida berkata "kita akan seberang jambatan apabila kita sampai kepadanya".
"Kita hanya mahu mendapatkan penjelasan mengenai isu-isu tertentu kerana orang ramai sudah tahu kita berpecah atau seumpama dengan itu jadi kita juga ingin membuat pelan rekonsiliasi," katanya.
Zuraida berada di Tanjung Tokong untuk merasmikan mesyuarat agung tahunan bersama tiga cabang PKR- Tanjung, Jelutong dan Bagan.
Sebelum itu, Zuraida meminta ahli-ahli PKR supaya tidak salah faham atau salah menilai beliau kerana tidak menghadiri mesyuarat parti.
Beliau juga menafikan suka bertengkar atau enggan menghadiri mesyuarat parti.
"Saya ada rekod yang terbaik dalam menghadiri mesyuarat dan saya gembira menghadirinya," katanya.