Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kalau pakat elok, boleh rampas 5 negeri - Mat Hasan

Timbalan Presiden Umno yakin kerjasama partinya dengan PAS mampu merampas kembali lima negeri yang telah jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum lalu.

Mohamad Hasan berkata lima negeri yang boleh dirampas kembali ialah Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Perak dan Johor.

Selain itu beliau yakin BN dan PAS mampu mengekalkan kemenangan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis.

"Jangan cepat cerita kerusi, kita nak menang, pakat elok-elok. Jangan siang-siang dah tamak nanti kita kalah.

"Kalau kita boleh pakat elok-elok, Melaka boleh, Negeri Sembilan boleh ambil, Perak boleh menang, Kedah menang dan kekalkan Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Kalau betul-betul kita gaul elok-elok resepi, Johor boleh ambil balik. Selangor belum baca (boleh menang)," katanya ketika ceramah sempena Himpunan Penyatuan Ummah di Kuala Lumpur, malam ini yang dihadiri lebih 3,000 hadirin.

Hadir sama pada ceramah itu Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dan dua naib presiden Umno dan PAS iaitu, Ismail Sabri Yaakob dan Idris Ahmad.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, BN bukan saja tumbang buat pertama kali selepas lebih 60 tahun berkuasa, tetapi turut kehilangan negeri yang sebelum itu merupakan kubu kuat mereka.

PRU ke-14 lalu antara lain menyaksikan BN kehilangan Sabah dan Johor selain serta Melaka dan Negeri Sembilan yang turut dirampas PH.

BN juga gagal mempertahankan Kedah dan Perak.

Pertembungan tiga penjuru di kebanyakan kerusi pada PRU lalu juga menyaksikan PAS berjaya merampas kembali Terengganu serta mempertahankan Kelantan.

Dalam pada itu, Mohamad dalam ucapanya menyifatkan bahawa rakyat di negara ini wajib menentang kerajaan PH.

Jelasnya, kerajaan PH yang kini menguasai Putrajaya umpama "anai-anai" yang bakal meruntuhkan negara kerana tidak mempunyai kemampuan untuk mentadbir degan baik.

"Ini yang terjadi Datuk (Tuan Ibrahim) spray (sembur) saya, akhirnya anai-anai naik Putrajaya. Negara akan runtuh dia (PH) tak tahu tadbir negara.

"Maka berjanjilah, jangan kita spray (sembur) sesama sendiri, kita beli spray lebih baik, kita spray PH kita bagi dia 'mati'," sindir Mat Hasan.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS