Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sime Darby, IOI nafi ladang di Indonesia ditutup
Diterbitkan:  Sep 13, 2019 10:28 PM
Dikemaskini: 2:43 PM

Sime Darby Plantation Berhad (SDP) berkata tiada sebarang tindakan diambil pihak berkuasa Indonesia menutup kawasan operasi unit mereka di negara itu, PT Sime Indo Agro (PT SIA) seperti didakwa Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia Siti Nurbaya Bakar.

Dalam kenyataan medianya hari ini, SDP merujuk laporan reuters hari ini yang memetik Siti Nurbaya Bakar berkata bahawa tanah-tanah dari empat syarikat milik Malaysia termasuk PT SIA itu ditutup susulan kebakaran berlaku dalam kawasan mereka.

Bagaimanapun, SDP berkata setakat ini tiada sebarang tindakan diambil pihak berkuasa Indonesia menutup kawasan operasi PT SIA seperti didakwa.

SDP juga berkata kebakaran yang berlaku pada awal bulan ini terjadi di luar kawasan operasi PT SIA.

"SDP ingin menjelaskan bahawa kebakaran baru-baru ini yang berlaku pada 3 Sept 2013 terjadi di luar kawasan operasi PT SIA sebenarnya terletak di atas tanah yang diduduki masyarakat setempat.

"Bagaimanapun kebakaran itu sudah dikawal dan kejadian itu sudah dijelaskan kepada pihak berkuasa yang datang dari Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia," katanya.

Laporan Reuters hari ini yang menamakan PT SIA sebagai salah satu syarikat yang mempunyai kaitan dengan Malaysia sebagai syarikat yang memulakan kebakaran di beberapa hutan di republik berkenaan yang seterusnya menyebabkan jerebu di rantau ini termasuk di Malaysia.

Empat syarikat yang dinamakan oleh Indonesia ialah Sukses Karya Sawit, iaitu unit IOI Corporation (IOI), Sime Indo Agro, iaitu unit Sime Darby Plantation (Sime Darby), Rafi Kamajaya Abadi milik TDM Berhad dan Adei Plantation & Industry yang merupakan unit Kuala Lumpur Kepong Berhad.

Dalam kenyataan berasingan, IOI turut menafikan perkara sama dan menjelaskan bahawa pihaknya belum menerima sebarang makluman rasmi berhubung penutupan tanah kawasan operasi mereka.

"PT SKS dalam keadaan berjaga-jaga dan sudah mengambil langkah untuk menangani cuaca kering dan kemungkinan kebakaran.

"Kami berjaya memadamkan beberapa kebakaran kecil dengan segera yang berlaku sejak beberapa bulan lalu dan membantu syarikat dan penduduk setempat untuk memadam kebakaran di kawasan berhampiran.

PT SKS menggunakan sumber, termasuk peralatan dan kakitangan, untuk pemantauan dan usaha mengelak serta memadam kebakaran," kata IOI dalam kenyataan medianya.

Sementara itu, SDP turut menegaskan bahawa operasi mereka adalah berdasarkan polisi tiada pembakaran (Zero Burning).

"Teknik Penanaman Semula Tanpa Pembakaran (Zero-Burning Replanting Technique), inisiatif yang dipelopori oleh syarikat ini dan mendapat peniktirafan pada 1992 oleh Program Alam Sekitar PBB (UNEP) Global 500 Roll of Honour dan hari ini merupakan amalan piawai industri minyak sawit dalam penanaman semula.

"Selain menyelenggara pasukan pemadam kebakaran yang lengkap dengan peralatan memadam kebakaran di semua ladang, SDP juga meluaskan dasar tiada pembakaran kepada jiran dalam lingkungan 5km radius dari sempadan ladang untuk membantu mereka dan mengelak berlakunya kebakaran.

"SDP juga berhubung dengan masyarakat setempat di Indonesia untuk membantu mereka menubuhkan inisiatif mengelak kebakaran, yang dikenali sebagai 'Masyarakat Peduli Api' (MPA), untuk meningkatkan penyertaan masyarakat setempat dalam memantau dan mengelakkan kebakaran," katanya.

SDP turut menjelaskan bahawa pihak mereka turut mempromosikan kempen tiada pembakaran melalui program yang dijalankan bersama universiti tempatan termasuk di Sumatera dan Kalimantan Selatan.

"Sebarang titik panas atau kejadian kebakaran di kawasan operasi SDP juga dipantau secara berterusan menggunakan sistem satelit. Sejak 1985, orang awam boleh mengakses maklumat ini di laman web kami," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS