LAPORAN KHAS | Mereka meninggalkan kampung halaman di Bangladesh dengan harapan membina kehidupan baru di Kuala Lumpur. Akhirnya, sekumpulan pekerja asing terpaksa tinggal dalam pondok di hutan dalam ketakutan.
Mereka tiba di Malaysia secara sah melalui perjanjian antara kerajaan tambahan (G2G+), tetapi menjadi mangsa eksploitasi dan pemerdanganan oleh majikan dan ejen.
Tanpa pilihan untuk menyelamatkan diri dari eksploitasi, mereka lari dari majikan dan menjadi pekerja asing tanpa izin, menurut siasatan akhbar Bangladesh Kaler Kantho.
Supaya tidak ditahan polis atau imigresen, pekerja-pekerja ini, yang kebanyakan buruh pembinaan, akan masuk ke dalam hutan dan ladang kelapa sawit pada waktu malam.
Di situ, mereka berteduh dan tidur di pondok-pondok yang dibina menggunakan kayu usang dan lapisan plastik, menurut siasatan tersebut.
Salah satu pondok tersebut dijumpai di tengah ladang kelapa sawit bersebelahan dengan sebuah lebuh raya yang menghubungkan Kuala Lumpur dan negeri jiran.
Bergilir-gilir tidur, takut ular
Semasa Kaler Kantho menjejak pondok tersebut pada satu malam tahun lalu, seramai 16 pekerja asing berteduh di sana. Mereka bergilir-gilir tidur kerana takut dipatuk ular atau diserang bintang liar.
“Kami akan lumurkan badan dengan losyen antinyamuk dan semburkan racun di sekitar tempat tinggal kami,” kata seorang pekerja yang ingin dikenali sebagai Al-Amin.
“Di kampung halaman kami, lembu di rumah saya pun keadaannya lebih baik,” katanya, yang berasal dari Barisal, 250 kilometre dari Dhaka.
Antara pekerja yang berkongsi pondok dengan Al-Amin adalah Iftekharul Alam dan SM Monir. Kedua mereka lari dari majikan di Kapar, Klang, kerana takut akan diusir pulang ke Bangladesh.
Semasa ditemui, kedua mereka berada dalam keadaan sedih dan terpaksa mengawal emosi semasa menceritakan bagaimana mereka boleh tinggal dalam keadaan sedemikian.
Menurut mereka, majikan mereka, Tiong Tat Printing memecat mereka kerana terlibat dalam mogok pekerja yang mendakwa mereka diesksploitasi syarikat cetakan tersebut.
‘Pengawal dera kami’
Tiong Tat merekrut 149 pekerja Bangladesh melalui perjanjian G2G+. Melalui perjanjian ini, pekerja mesti dibayar RM1,000 gaji asas bulanan dan sehingga RM500 sebulan untuk bekerja lebih masa (over time).
Namun, menurut pekerja, gaji mereka sering dipotong untuk penggunaan elektrik atau air, tempat tinggal dan “hutang”.
Pada April 2018, contohnya, slip gaji Monir menunjukkan bahawa gaji dia pada bulan tersebut adalah RM1,588.88, termasuk kerja lebih masa. Tetapi setelah potongan, dia hanya menerima RM1,188.88.
Menurut slip gaji yang ditunjukkan kepada Kaler Kantho, sebanyak RM300 dipotong untuk pembayaran hutang, RM50 untuk penggunaan elektrik dan air dan RM50 untuk tempat tinggal.
“Saya tak pernah mengambil hutang dari majikan, tapi mereka memotongnya setiap bulan.
“Menurut kontrak kami, tempat tinggal sepatutnya disediakan oleh majikan, tapi mereka memotong gaji sebagai sewa setiap bulan,” kata Monir.
Iftekharul berkata majikan mereka menempatkan 16 ke 20 pekerja sebilik, walaupun bilik itu sepatutnya dihuni empat orang sahaja.
“Jika kami membantah, pegawai pengawal akan masuk dan dera pekerja,” kata Iftekharul.
Selepas beberapa kali cuba mengadu pada pengurusan dan Kedutaan Bangladesh, pekerja Tiong Tat mogok untuk sehari pada 12 Ogos 2018.
Oleh kerana terlalu terdesak, salah seorang pekerja mengancam untuk membunuh diri. Beliau membuat ancaman tersebut dalam hantaran Facebook.
Ini menarik perhatian kedutaan yang menghantar dua pegawai untuk menyiasat keadaan di Tiong Tat, namun menurut para pekerja, dua pegawai tersebut hanya berjumpa dengan pihak pengurusan dan tidak bersemuka dengan pekerja.
Kedutaan Bangladesh: Pekerja langgar peraturan
Akhirnya, enam pekerja dipecat dan diancam untuk diusir keluar ke Bangladesh. Dua dari mereka diusir tanpa dibayar gaji. Empat yang lain berjaya lari. Tetapi, kini hanya Monir dan Iftekharul yang masih lolos dari tangkapan imigresen.
Tiong Tat tidak memberi sebarang respons apabila dihubungi Kaler Kantho dan Malaysiakini berkenaan dakwaan tersebut.
Duta Besar Bangladesh ke Kuala Lumpur, Md Shahidul Islam, berkata beliau akan meneliti kes ini.
Pegawai kedutaan Md Muksed Ali mengesahkan pegawai kedutaan telah melawat kilang Tiong Tat.
“Kami dapati bahawa majikan telah membuat potongan gaji sebagai denda untuk pekerja yang bercakap telefon (semasa kerja), merokok dan gagak memakai kasut yang sepatutnya,” kata Md Muksed.
Apabila ditanya jika kesalahan ini membolehkan pekerja dipecat dan diusir negara, beliau menjawab:
“Begini, tindakan perlu diambil mengikut undang-undang tempatan. Bukan semua orang (yang diambil tindakan oleh majikan) diusir negara.”
Md Muksed juga menegaskan bahawa enam pekerja yang dipecat itu sepatutnya diusir negara kerana mereka “melanggar peraturan syarikat”.
Namun, perjanjian G2G+ menyatakan bahawa hanya mereka yang terlibat dalam jenayah boleh diusir negara, tetapi hanya selepas gaji mereka dilangsaikan.
Ditipu ejen
Para pekerja yang ditemui Kaler Kontho di pondok tengah ladang kelapa sawit tersebut semuanya terperangkap dalam kitaran penyelewengan, yang melibatkan ejen Bangladesh yang beroperasi di Malaysia.
Kerana terdesak, mereka sanggup membayar ribuan ringgit kepada ejen yang menjanjikan permit kerja.
(LINK TO PART 2: RM4,000 sekepala, pekerja Bangladesh mangsa lumayan bagi ejen
Seorang ejen yang sering disebut oleh pekerja-pekerja yang berteduh di pondok tersebut adalah Kamal Chandra Das.
Menurut Mannan Miah, seorang pekerja dari kampung Naokandi di Kishoreganj, Bangladesh, RM12,000 yang dibayarnya kepada Kamal untuk mendapatkan permit hangus begitu sahaja.
“Semua harapan saya hancur berkecai kerana ejen. Jangan katakan nak bantu keluarga, nyawa sendiri pun dalam ancaman.
“Saya bekerja setiap hari, tapi saya hanya mampu tinggal dalam hutan,” katanya.
Seorang lagi pekerja, Sunil Das, telah menjual sebidang tanah di kampung. Wang itu dihantar kepadanya di Kuala Lumpur, dan diserahkan kepada Kamal untuk mendapatkan permit. Tapi Kamal langsung hilang.
Sunil merupakan tempat bergantung untuk ibu bapanya serta isteri dan lima orang anak. Mereka kini dalam keadaan papa kedana kerana Sunil tidak dapat menghantar wang pulang.
‘Ejen hidup mewah’
Ini jauh berbeza dengan keadaan keluarga Kamal, yang dikatakan hidup dalam kemewahan di kampung halamannya di Kishoreganj, 140 kilometer dari Dhaka.
Semasa lawatan Kaler Kantho, didapati Kamal mempunyai tiga mesin penjana wap bernilai hampir setengah juta ringgit di Sarachar Bazaar, serta 15 bidang tanah berjumlah 10 ekar.
Menurut pekerja yang telah dimangsakan Kamal, beliau mengumpul aset tersebut dalam masa beberapa tahun lalu. Sebelum ini beliau hanya jurujual biasa, kata mereka.
Akibat takut diserang orang kampung, Kamal tidak pernah muncul di Kishoreganj, dan semua perniagaannya diuruskan oleh abang-abangnya, kata mereka.
Menurut penduduk tempatan termasuk jiran keluarga Das, Kamal mengirim wang dari Malaysia. Ramai penduduk kampung itu juga mendakwa ahli keluarga mereka ditipu Kamal sehinggakan ahli keluarga mereka tidak dapat pulang dari Malaysia.
Anak lelaki Aminul Islam, Deen, merupakan salah seorang mangsa Kamal dan kini hidup merempat di Malaysia.
Kerana Deen tidak lagi dapat menghantar wang pulang, Aminul tidak mampu menyara hidup anak-anak Deen dan terpaksa meninggalkan mereka di rumah anak yatim.
Semasa Kaler Kantho berjumpa dengan keluarga tersebut di Kishoreganj, isteri Deen kelihatan menangis dan menggeletar di bawah selimut yang nipis, akibat demam panas (bawah). Kerana tidak mampu membeli ubat, mertuanya hanya mencurahkan air ke dahinya dengan harapan suhu badannya akan turun.
Sementara itu, abang kepada Kamal, Ajit Das, menafikan dakwaan penduduk lain dan berkata Kamal bukan pemilik aset-aset tersebut.
“Kami sudah ada aset ini semua sebelum dia ke Malaysia. Kami pun tidak berhubung dengannya,” katanya. Beliau juga enggan menjawab dakwaan penipuan Kamal.
Anak saudara Kamal, Rubel Das pula mendakwa Kamal telah memulangkan semua wang yang diambil dari pekerja Bangladesh di Malaysia.
Namun, menurut Anwar Hossan, yang dijumpai di pondok usang tengah ladang kelapa sawit tersebut, yang diterima dari Kamal hanyalah kesengsaraan.
Anwar menunjukkan parut di kakinya yang didakwa akibat patukan ular beberapa bulan lalu, semasa dia berjalan masuk ke arah pondok tersebut pada satu malam selepas tamat kerja.
“Mujur beberapa kawan saya membantu mencuci dan membalut luka dan mendapatkan ubat, dan saya sembuh,” katanya.
“Inilah nasib bila kamu percayakan penipu macam Kamal.”
Bahagian 1: Terbongkar - pekerja Bangladesh diperdagang antara syarikat
Bahagian 2: RM4,000 sekepala, pekerja Bangladesh mangsa lumayan bagi ejen
Bahagian 3: Setiap hari, dua orang pekerja Bangladesh maut di Malaysia