Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Komen PM isu kafirkan Umno bersifat politik

Pandangan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai keperluan PAS menarik balik kenyataan mereka yang mengkafirkan Umno adalah kenyataan politik bagi mengalih perhatian masyarakat daripada penyatuan ummah kedua-dua parti.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata perdana menteri memberikan kenyataan itu selepas melihat kepada liputan dan minat yang diberikan orang ramai kepada detik bersejarah buat Umno dan PAS Sabtu ini.

“Saya kira kenyataan Tun (Mahathir) itu adalah satu kenyataan politik.

"Mungkin orang politik apabila melihat persiapan himpunan penyatuan ummah (HPU) mendapat liputan begitu hebat, dia (bercakap) untuk mengalih pandangan masyarakat.

“Sebab itu pimpinan Umno dan PAS sendiri, kalau komen pun, komen biasa saja dan biarkan mereka yang hendak bercakap itu bercakap,” katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa.

Pada 10 Sept lalu, Mahathir menggesa PAS menarik balik kenyataan yang didakwanya menganggap Umno sebagai kafir sebelum kedua-dua parti itu memeterai piagam bersama sebagai tanda rasmi bekerjasama.

Kata Mahathir, sejak dahulu PAS menuduh Umno sebagai parti kafir.

Sementara itu, Annuar berkata isu berkenaan akan dijelaskan lebih lanjut pada himpunan yang akan berlaku Sabtu nanti.

“Saya simpan untuk 14 hari bulan ini, dan akan tetap dijawab nanti," katanya.

Ditanya pemberita adakah Umno perlu berterima kasih atas kenyataan Dr Mahathir untuk menarik balik Amanat Haji Hadi, Annuar menjelaskan bahawa dia bersyukur ramai pihak kerajaan memberi perhatian atas perkara tersebut.

“Kita dengan Tun (Dr Mahathir) terima kasih dengan banyak perkara pada kita itu tanda kejayaan kita.

“Kita tidak perlu melenting, marah... saya fikir yang kita risau kalau kita buat tiada siapa peduli.

"Tapi kalau sudah menteri jaga agama resah, perdana menteri sendiri kena komen - kita ucap terima kasih. Maknanya apa kami buat diberi perhatian," katanya.

Beliau berkata penyatuan Umno dan PAS Sabtu ini adalah urusan dalaman parti dan pihak tidak berkaitan perlu bersabar dengan perkara itu.

“Urusan Umno dan PAS urusan keluarga anak beranak," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS