Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perlembagaan tak tetapkan Islam itu Sunni atau Syiah, kata bekas hakim

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Hishamudin Yunus berkata adalah salah bagi pihak berkuasa agama menahan dan menyerbu pengikut Syiah kerana Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, tidak menyatakan mazhab Islam mana adalah agama yang rasmi.

"Saya akan jawab sebagai bekas hakim, dari perspektif undang-undang. Pertama, Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan mengatakan Islam adalah agama persekutuan dan agama lain bebas diamalkan.

"Perkataannya 'Islam'. Ia tidak kata 'Islam Sunni’, ia tidak kata 'Islam Syiah', ia hanya sebut 'Islam'.

"Satu hari (nanti) ia (perkataan ‘Islam’) harus ditafsirkan oleh mahkamah agung (untuk mengatakan) apa yang dimaksudkan dengan 'Islam'," katanya dalam satu forum awam yang diadakan sebagai sebahagian daripada acara sambutan ulang tahun ke-20 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Kuala Lumpur hari ini.

Hishamudin, yang adalah anggota suruhanjaya itu mengulas soalan mengenai kritikan Suhakam baru-baru ini terhadap serbuan yang dijalankan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sambutan majlis Asyura di Gombak yang menyaksikan 23 orang ditangkap.

Aliran Syiah merupakan mazhab Islam kedua terbesar dengan pengikutnya tertumpu di Iran, Iraq, Bahrain, beberapa bahagian Arab Saudi dan negara teluk lain.

Walau bagaimanapun, di Malaysia, majoriti penganut Islam adalah mengikuti fahaman Sunnah wal-jamaah atau Sunni dan aliran Syiah dianggap menyimpang terutama mengenai rujukan serta beberapa tokoh awal sejarah Islam.

Sambil menegaskan bahawa ini adalah pandangan peribadinya, Hishamudin berkata Islam tidak seharusnya "terhad" kepada Islam Sunni tanpa keterangan tafsiran mahkamah.

Beliau juga menyeru agar serangan dan serbuan ke atas umat Islam mazhab Syiah dihentikan.

"Pandangan peribadi saya adalah bahawa serbuan ini mesti dihentikan ... selagi mereka mempraktikkan Islam Syiah secara aman, kewujudan bersama secara damai perlu ada," katanya ketika ditemui media setelah forum itu.

Mengulas lanjut, Hishamudin berkata bahawa pihak berkuasa agama harus mempertimbangkan keputusan 'The Amman Message' mengenai Syiah.

'The Amman Message' ialah kempen perpaduan umat Islam usaha Raja Abdullah di Jordan pada 2004. Ini diikuti dengan rundingan 24 ulama Islam yang kemudian membuat keputusan atas tiga perkara utama.

Ia kemudian disokong 200 ulama dari lebih 50 negara.

Menurut laman sesawang rasmi 'The Amman Message' tiga isu asas itu ialah:

  • Para ulama secara khusus mengakui kesahihan semua lapan mazhab dari Sunni, Syiah dan Ibadhi Islam; teologi islam tradisional (Ash'arisme); sufisme dan pemikiran salafi.
  • Berdasarkan takrifan itu mereka melarang perbuatan takfiri antara orang Islam; dan
  • Berasaskan sekolah pemikiran undang-undang yang diiktiraf, ulama menyatakan prasyarat subjektif dan objektif untuk mengeluarkan fatwa bagi mendedahkan penyebaran curang dan batil atas nama Islam.

Ketiga-tiga perkara itu kemudian dibentangkan dan diterima sebulat suara oleh pemimpin politik di Sidang Kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam di Mekah pada Disember 2005.

Malaysia kemudian mengesahkan dokumen itu.

"Jika 'The Amman Message' dapat mengiktiraf kedua-dua aliran ini, mengapa tidak pihak berkuasa negeri kita mengiktiraf mereka?

"Mengapa pihak berkuasa negeri kita harus mengatakan Syiah itu adalah haram (dilarang)?" soal bekas hakim itu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS