Seorang pengkaji sejarah bebas Mohd Azlan Mohd Sharif mencalonkan Bukit Payong di Batu Pahat, Johor sebagai tapak warisan negara.
Beliau, yang menentang pembinaan insinerator di kawasan itu, mendaftarkan cadangannya di pejabat Jabatan Warisan Negara (JWN) di Kuala Lumpur minggu lepas.
Selain fosil tumbuhan jutaan tahun dan batu Aceh ratusan tahun, Mohd Azlan membangkitkan kemungkinan baru terdapat bangkai pesawat Perang Dunia Kedua.
Bercakap kepada Malaysiakini minggu lepas, Mohd Azlan berkata pesawat model Wirraway dengan nombor siri A20-72 terhempas di hutan Inas di situ pada 19 Januari 1942.
“Rekod terhempas ada. Nama orang terhempas pun ada,'' katanya kepada Malaysiakini.
Mohd Azlan berkata kapal terbang tersebut masih belum ditemui namun penduduk tempatan percaya ia berada di Bukit Payong selain menemui serpihan kapal bersebelahan Parit Mustaffa dan Parit Puasa, tidak jauh dari situ.
Dalam pencalonan tersebut, Batu Payong didaftarkan sebagai tapak Warisan Semula Jadi.
Tapak itu kini bawah jagaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Perhutanan Negeri Johor dan pentadbir tanah Batu Pahat, Johor.
Berdasarkan salinan borang yang dikongsi oleh Mohd Azlan, beliau mendakwa wujud batu Aceh berusia 500 tahun di pesisir Sungei Simpang Kiri, malah juga terdapat fosil tumbuhan di Bukit Belah dan Bukit Inas dipercayai berusia 250 juta tahun.
Menurut laman web JWN, sebarang kesan kewujudan manusia yang mempunyai sifat kebudayaan, sejarah atau arkeologi dianggap sebagai warisan negara.
Ini termasuk tapak, struktur, bangunan, artifak dan peninggalan manusia serta objek, pesawat udara, kenderaan lain.
Menurut prosedurnya, selepas penyelidikan dan penilaian, cadangan yang diterima akan dibawa kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan untuk dinobatkan sebagai Warisan Kebangsaan.
Selain Mohd Azlan, aktivis alam sekitar turut menentang pembinaan insinerator dikenali sebagai Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong di atas tanah seluas 42.18 hektar.
Pencarian bulan depan
Sementara itu, seorang pengkaji sejarah Shaharom Ahmad turut menyokong Mohd Azlan, berdasarkan rekod dari Australia yang menyatakan sebuah kapal terbang terhempas dipercayai Wirraway pada tarikh sama.
Shaharom berkata mereka mungkin menganjurkan ekspedisi mencari bangkai pesawat itu bersama penduduk kampung yang mahir.
''Lokasi belum pasti.
“Mungkin dalam bulan Oktober atau November (akan jalankan kajian) dengan orang tempatan,” katanya.
NAIMMULLAH JAYA turut menyumbang untuk laporan ini.