Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Titik panas di Sumatera, Kalimantan dua kali ganda dari M'sia

Ada sekurang-kurangnya dua kali ganda titik panas di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia, berbanding apa yang dikesan di seluruh Malaysia pada hari ini.

Berdasarkan analisis data satelit yang direkodkan hari ini, tiupan angin semasa juga membawa asap dari kawasan yang terbakar - dari Sumatera ke Semenanjung Malaysia dan Kalimantan ke Sabah, Sarawak dan Brunei - memburukkan keadaan berjerebu.

Dapatan itu diperoleh Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) berdasarkan data satelit NOAA, iaitu satu daripada satelit cuaca terkini yang digunakan agensi itu untuk memantau jerebu di Asia Tenggara.

Satelit itu dikendalikan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA) yang mendedahkan datanya kepada umum.

ASMC pula ialah badan yang membabitkan agensi kaji cuaca dari semua negara Asean.

Analisis ASMC menunjukkan ada 754 titik panas di Kalimantan dan lebih separuh daripadanya dianggap memang diyakini sebagai titik panas sebenar.

Sebaliknya di Sarawak hanya ada 11 titik panas dikesan.

Di bahagian barat pula ASMC mengenal pasti 553 titik panas di Sumatera berbanding cuma 10 di Semenanjung Malaysia.

Secara keseluruhan ada 1,307 titik panas di Sumatera dan Kalimantan dan hanya ada 21 keadaan sama di seluruh Malaysia.

Imej dari satelit NOAA-20 yang dipaparkan AMSC turut menunjukkan kawasan Malaysia yang diselubungi jerebu dan asap dilihat datang dari beberapa titik panas yang dikesan.

ASMC mengingatkan, kawasan panas dan jerebu terdedah kepada kekaburan akibat awan atau terlindung daripada satelit yang tidak melintasi sesuatu kawasan.

Titik panas dari satelit lain mungkin berbeza dan kadang-kadang jauh lebih tinggi tetapi secara konsisten menunjukkan jumlahnya sentiasa lebih banyak di Sumatera berbanding Semenanjung Malaysia, dan Kalimantan berbanding Sabah dan Sarawak sepanjang minggu lalu.

Sementara itu laman sesawang ASMC merumuskan keadaan jerebu di Asean dengan menunjukkan peta menggambarkan angin bertiup melepasi kawasan titik panas di Kalimantan ke Sarawak dan kemudian beralih ke timur ke arah Sabah.

Peta yang sama juga menunjukkan angin bertiup di kawasan titik panas di Sumatera dan ke Semenanjung Malaysia.

"Di Sumatera, titik panas secara berterusan mengeluarkan asap sederhana hingga padat terus dikesan pada bahagian tengah dan selatan pulau itu, yang mengakibatkan jerebu yang besar.

"Sesetengah jerebu ditiup angin angin ke Semenanjung Malaysia dan Singapura.

"Di Kalimantan, asap sederhana dan dan padat dari kawasan panas terus dikesan di banyak kawasan di selatan, tengah dan barat Kalimantan.

"Titik panas dengan jerebu juga dikesan di wilayah lain di Kalimantan.

"Beberapa kabut asap dari Kalimantan Barat ditiup angin ke barat Sarawak dan kawasan Laut China Selatan yang berdekatan," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS